NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

iCAUR Capai 1,800 Kenderaan di Jalan Raya Malaysia, Lancar Kelab Pemilik Rasmi

iCAUR Capai 1,800 Kenderaan di Jalan Raya Malaysia, Lancar Kelab Pemilik Rasmi

KUALA LUMPUR – ICAUR capai 1800 unit kenderaan di Malaysia! Jenama kenderaan elektrik iCAUR Malaysia terus mencatat perkembangan positif dalam pasaran tempatan.

Pencapaian ini mencerminkan permintaan yang semakin kukuh terhadap kenderaan elektrik (EV) jenama tersebut, khususnya dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) berkeupayaan pengembaraan jalan lasak yang semakin mendapat perhatian pengguna Malaysia.

Menurut iCAUR Malaysia, pertumbuhan ini juga selari dengan peningkatan minat dalam kalangan pemandu yang menghargai gabungan reka bentuk unik, teknologi moden serta pengalaman pemanduan yang berbeza daripada kenderaan konvensional.

Permintaan Kukuh Terhadap Model iCAUR

(ICAUR V23)

Antara model yang menyumbang kepada peningkatan populariti jenama ini ialah iCAUR 03 dan iCAUR V23, yang masing-masing mencatat prestasi memberangsangkan dalam pasaran EV tempatan.

Pada Februari 2026, model iCAUR V23 muncul sebagai jenama EV ketiga terlaris di Malaysia dengan sebanyak 179 pendaftaran kenderaan direkodkan. Dalam masa yang sama, iCAUR 03 turut berada dalam senarai model EV paling popular apabila menduduki kedudukan ketujuh bagi pendaftaran EV di seluruh negara.

Prestasi ini menyusuli kejayaan model iCAUR 03 pada tahun 2025 apabila ia tersenarai sebagai model EV ke-14 paling laris di Malaysia, dengan sebanyak 836 unit didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama selepas pelancarannya.

Menurut Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, pencapaian tersebut menandakan perkembangan penting bagi jenama itu dalam pasaran tempatan.

“Pencapaian 1,800 kenderaan di jalan raya merupakan detik yang sangat bermakna bagi iCAUR Malaysia. Ia mencerminkan hubungan yang semakin kukuh antara jenama ini dan para pemandu yang menghargai reka bentuk unik, prestasi serta pengalaman pemilikan yang lebih ekspresif,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa iCAUR akan terus memberi tumpuan untuk menerajui segmen kenderaan elektrik pengembaraan jalan lasak sambil menarik minat generasi pengguna yang menghargai inovasi dan ekspresi peribadi.

Pelancaran Kelab Pemilik iCAUR Malaysia

Bagi meraikan pencapaian tersebut, iCAUR Malaysia turut menganjurkan Sesi Penyerahan 1,800 (1,800 Handover Session) yang menghimpunkan para pemilik kenderaan iCAUR dari seluruh negara.

Acara berkenaan bukan sahaja meraikan pemilik ke-1,800 jenama itu, malah turut menyaksikan pelancaran rasmi Kelab Pemilik iCAUR Malaysia, iaitu kelab komuniti pertama yang diwujudkan khusus untuk pemilik kenderaan iCAUR di negara ini.

Menurut Pengarah Pemasaran iCAUR Malaysia, Daniel Lai, penubuhan kelab tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan antara pemilik kenderaan serta membina komuniti yang lebih aktif.

“Ramai pelanggan kami menghayati semangat ‘Born to Play’ kerana ia seiring dengan gaya hidup dan pilihan pemanduan mereka. Melalui Kelab Pemilik iCAUR Malaysia, kami dapat menyediakan lebih banyak peluang untuk pemilik berhubung, berkongsi pengalaman dan berkembang bersama sebagai sebuah komuniti,” jelasnya.

Platform Komuniti Untuk Pemilik iCAUR

Kelab Pemilik iCAUR Malaysia direka sebagai platform untuk menghimpunkan para pemilik melalui pelbagai aktiviti komuniti, pertemuan pemilik serta program gaya hidup yang berkaitan dengan jenama tersebut.

Antara fokus utama kelab ini ialah Perjalanan Pengubahsuaian (Customisation Journey) yang memberi peluang kepada pemilik menampilkan kenderaan yang telah diperibadikan serta berkongsi idea pengubahsuaian dengan peminat lain.

Selain itu, kelab ini juga memberi penekanan kepada pembangunan komuniti, termasuk penganjuran perjumpaan pemilik, aktiviti rangkaian serta program yang dapat mengeratkan hubungan antara ahli.

Inisiatif ini secara tidak langsung menjadikan pengalaman pemilikan iCAUR lebih bermakna selain membina komuniti pengguna EV yang semakin berkembang di Malaysia.

Model SUV Elektrik Dengan Keupayaan Off-Road

(ICAUR 03)

Sejak pelancarannya pada September 2025, model iCAUR 03 telah diperkenalkan sebagai SUV segmen C elektrik sepenuhnya yang menawarkan keupayaan pengembaraan jalan lasak.

Model tersebut mempelopori kategori Adventure Battery Electric Vehicle (BEV) di Malaysia dengan menggabungkan prestasi pemanduan, versatiliti serta mobiliti elektrik dalam satu pakej yang unik.

Barisan model iCAUR kemudiannya diperluaskan pada November 2025 dengan pengenalan iCAUR V23, sebuah SUV elektrik yang menampilkan reka bentuk berinspirasikan kenderaan 4×4 klasik.

Model V23 Retro Edition turut diperkenalkan dengan tagline Classic Never Fades, sekali gus mencerminkan pendekatan jenama yang lebih santai dan kreatif dalam menghasilkan reka bentuk kenderaan elektrik yang berbeza daripada kebiasaan.

iCAUR Sasar Pasaran Global

iCAUR merupakan jenama kenderaan elektrik global yang terhasil daripada kerjasama antara pengeluar automotif China, Chery, dan syarikat teknologi SmartMi Tech.

Jenama ini dibangunkan khusus untuk pasaran antarabangsa dengan menggabungkan reka bentuk moden, teknologi pintar serta prestasi pemanduan yang mantap bagi memenuhi keperluan pengguna generasi baharu.

iCAUR mula diperkenalkan secara global pada Pameran Industri Automotif Antarabangsa Shanghai 2025 dan menyasarkan untuk mengembangkan operasinya ke 100 negara serta membuka lebih daripada 2,000 pusat jualan dan perkhidmatan menjelang tahun 2028.

Di Malaysia, kehadiran iCAUR juga dilihat selari dengan usaha negara dalam mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik menerusi pelbagai inisiatif kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB).

Pelan tersebut menetapkan sasaran penggunaan EV yang lebih meluas dengan matlamat mencapai 80 peratus penggunaan menjelang tahun 2050, sekali gus menyokong usaha negara ke arah mobiliti yang lebih mampan dan mesra alam.

Untuk maklumat lebih lanjt boleh layari laman sesawang ICAUR Malaysia

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD