Persiapan Syawal kini sudah masuk ke fasa ‘pecut’ memandangkan raya hanya berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi. Selain sibuk mencari baju raya dan menghias rumah, satu perkara yang takkan lengkap dalam sambutan Aidilfitri di Malaysia pastinya hidangan ketupat daun kelapa yang dimakan bersama rendang atau kuah kacang.
Namun, di sebalik kemeriahan ini, timbul satu kebimbangan: Adakah seni anyaman ketupat akan pupus ditelan zaman? Ramai anak muda sekarang lebih suka membeli sarung ketupat yang sudah siap atau menggunakan ketupat segera kerana dianggap lebih mudah dan menjimatkan masa.
Pengasas Ruang Memoir, Nur Fatin Yasmin Firdaus, 25, percaya bahawa kemahiran menganyam ini perlu diteruskan supaya ia tidak hilang begitu sahaja. Melalui inisiatif bengkel kreatif, beliau cuba membawa semula aura tradisional ini kepada komuniti bandar.
“Trend sekarang ialah beli sarung ketupat yang sudah siap kerana lebih mudah. Menganyam sarung ketupat ini renyah, namun kalau tidak ada yang mahu belajar, lama-kelamaan seni ini akan hilang,” kata Fatin mengenai kebimbangannya terhadap seni anyaman ketupat tradisional.
Ramai yang menganggap menganyam ketupat ini satu kerja rumit. Tetapi menurut Nur Fatin yang mula belajar sejak usia 10 tahun, ia sebenarnya hanya memerlukan sedikit ketelitian dan kesabaran untuk memahami pola anyamannya.
Sama ada ketupat sate, bawang, atau jantung, setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri. Beliau sendiri mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menguasai teknik asas tersebut.
“Pada awalnya memang agak sukar sebab kita tak tahu bahagian mana perlu dimasukkan atau diselit. Tetapi apabila sering mencuba, pola anyaman akan mula difahami dan prosesnya menjadi lebih mudah,” jelas beliau lagi.
Bagi peserta bengkel seperti Ashraf Azahan Mohd Raisham, 24, kemahiran ini bukan sekadar untuk menyediakan makanan, tapi tentang menjaga identiti budaya. Ada satu kepuasan yang luar biasa apabila kita berjaya menghasilkan sarung ketupat dengan tangan sendiri.
“Ketupat memang hidangan tradisi setiap kali raya, sebab itu saya rasa orang muda kena belajar buat sendiri. Kalau tidak, lama-kelamaan mungkin generasi akan datang sudah tidak tahu bagaimana hendak menganyam,” kongsi Ashraf.
Kesimpulannya, raya tahun ini apa kata kita cuba ‘extra’ sikit? Kurangkan yang segera, lebihkan yang tradisi. Barulah terasa vibes raya yang sebenar bila dapat hidangkan ketupat hasil air tangan sendiri di pagi Syawal nanti!
Sumber: Bernama
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh