Verstappen terpaksa undur daripada Grand Prix China 2026 selepas juara dunia empat kali itu terpaksa memperlahankan keretanya dan kembali ke pit pada pusingan ke-46 akibat masalah serius pada unit kuasa Red Bull Racing miliknya. Pemandu Belanda itu akhirnya tidak diklasifikasikan dalam perlumbaan yang hanya menyaksikan 15 pemandu berjaya menamatkan saingan keseluruhan.
Verstappen Gelar Era Baharu F1 “Cacat Secara Asasnya”
Verstappen turut meluahkan rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap peraturan era baharu Formula Satu yang memperkenalkan elemen elektrik yang lebih besar serta keperluan mengurus penggunaan tenaga secara lebih ketat. Pemandu yang bukan peminat sistem baharu ini berterus terang kepada wartawan selepas perlumbaan.
“Ia bukan soal saya kecewa dengan kedudukan sekarang, kerana sebenarnya saya bertarung lebih kuat berbanding sebelum ini. Saya akan berkata perkara yang sama walaupun saya sedang memenangi perlumbaan, kerana saya mengambil berat tentang kualiti perlumbaan itu sendiri. Bagi saya, ini satu jenaka,” katanya, sambil menyifatkan peraturan baharu itu sebagai “cacat secara asasnya.”

Musim Sukar Buat Pemenang 71 Perlumbaan
Musim 2026 sejauh ini amat mencabar buat Verstappen. Di Grand Prix Australia minggu lalu, beliau terpaksa bermula dari kedudukan ke-20 selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi kelayakan. Di China pula, nasibnya tidak jauh berbeza dengan kejatuhannya dari tempat kelapan ke tangga ke-14 dalam perlumbaan pecut sprint sebelum menamatkan perlumbaan utama di tempat kesembilan tanpa sebarang mata dikutip.
Toto Wolff Beri Perspektif Berbeza
Namun tidak semua pihak berkongsi pandangan negatif Verstappen terhadap era baharu F1 ini. Bos Mercedes-AMG, Toto Wolff tampil memuji persaingan sengit antara dua pemandunya sendiri serta pemandu Scuderia Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc dalam perlumbaan yang akhirnya menyaksikan Kimi Antonelli meraih kemenangan sulung bersejarahnya bersama Mercedes.
“Kadang-kadang kita nostalgia dengan zaman lama yang baik, tetapi saya rasa produk perlumbaan sekarang sebenarnya bagus. Majoriti peminat dari semua demografi menyukai sukan ini ketika ini,” kata Wolff kepada wartawan selepas perlumbaan.
Wolff turut mengakui betapa sukarnya situasi yang sedang dihadapi Verstappen pada masa ini. “Max sedang melalui situasi sangat sukar. Bagi seseorang seperti Max yang sentiasa menyerang sepenuhnya, ia tentu sukar untuk diterima dan dihadam,” jelasnya.
Verstappen Bimbang Populariti Musnahkan Integriti Perlumbaan
Selain mengkritik aspek teknikal, Verstappen turut menyuarakan kebimbangan terhadap arah tuju Formula Satu yang dilihatnya terlalu menumpukan usaha menarik peminat baharu dengan memudahkan aksi memotong, sehingga boleh menjejaskan integriti perlumbaan sebenar.
“Saya harap mereka tidak berfikir begitu, kerana akhirnya ia akan merosakkan sukan ini. Ia akan memakan diri mereka semula. Mungkin ada peminat yang menyukainya, tetapi mereka tidak benar-benar memahami perlumbaan,” tegas Verstappen.
Sumber : Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?