NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pelancongan Domestik Malaysia 2025 Rekod Lonjakan Drastik 290.1 Juta Pelawat

Pelancongan Domestik Malaysia 2025 Rekod Lonjakan Drastik 290.1 Juta Pelawat

KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan domestik Malaysia 2025 mempamerkan prestasi luar biasa dengan rekod kemasukan 290.1 juta pelawat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan jumlah pelawat melonjak 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pelancongan domestik Malaysia 2025 berkembang pesat 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion, mencerminkan sumbangan signifikan terhadap aktiviti ekonomi setempat.

Beliau berkata secara keseluruhan, industri pelancongan tempatan terus berfungsi sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi yang dinamik, disokong oleh peningkatan bilangan pelawat serta perbelanjaan yang lebih tinggi merentas pelbagai industri berkaitan.

“Pertumbuhan berterusan yang dicatatkan pada 2025 menunjukkan peranan signifikan sektor ini dalam memperkukuh permintaan domestik, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta meningkatkan daya tahan ekonomi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dapatan statistik yang memberangsangkan itu terkandung dalam Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia Suku Keempat 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Mengulas mengenai prestasi suku keempat tahun tersebut, Mohd Uzir berkata bilangan pelawat domestik mencecah 74.0 juta orang, mewakili peningkatan 10.8 peratus tahun ke tahun dan 2.0 peratus berbanding suku sebelumnya.

Beliau turut memaklumkan perbelanjaan pelancongan bagi tempoh suku tersebut direkodkan sebanyak RM32.6 bilion, melonjak 12.4 peratus tahun ke tahun serta 9.1 peratus berbanding suku ketiga 2025.

Prestasi suku ini mencerminkan permintaan domestik yang berterusan, disokong peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan,” katanya.

Mohd Uzir menjelaskan bahawa indikator daripada industri berkaitan pelancongan turut mempamerkan aliran yang selari dengan pencapaian cemerlang sektor tersebut.

Antara data utama menunjukkan ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat drastik 17.9 peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus.

“Ini mencerminkan tahap mobiliti yang lebih tinggi serta peningkatan perbelanjaan berkaitan perjalanan pada suku keempat 2025,” katanya.

Beliau berkata subsektor penginapan turut mencatatkan prestasi teguh apabila jumlah hasil keseluruhan meningkat sebanyak 14.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber: RTM

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD