Trafik Ke Pantai Timur Dan Utara Mula Sesak Pagi Ini

Trafik Ke Pantai Timur Dan Utara Mula Sesak Pagi Ini

Aliran trafik keluar dari Lembah Klang menuju ke utara dan Pantai Timur dilaporkan mula mengalami kesesakan pagi ini, namun situasi secara keseluruhan masih berada dalam keadaan terkawal.

Peningkatan jumlah kenderaan ini selaras dengan pergerakan orang ramai yang memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa kesesakan di laluan ke Pantai Timur tertumpu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak, serta beberapa kawasan kritikal seperti Bukit Tinggi ke Bentong dan Sungai Dua ke Plaza Tol Karak.

Laluan Utara Dan Selatan Turut Terkesan

Bagi pengguna yang menuju ke arah utara, beberapa titik panas (hotspots) dikesan mengalami aliran perlahan termasuk di kawasan Slim River ke Tapah, Gopeng ke Simpang Pulai, serta laluan mendaki dari Ipoh Utara menuju ke Terowong Menora.

Kesesakan juga dilaporkan berlaku di kawasan Bandar Baharu ke Jawi serta sekitar Bukit Tambun sehingga ke Perai.

Sementara itu, bagi laluan ke selatan tanah air, aliran trafik dikesan mula perlahan dari Port Dickson ke Senawang dan Pasir Gudang menuju ke Setia Tropika.

“Cuaca pagi ini dilaporkan baik namun pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan dan mengawasi jarak selamat kenderaan masing-masing sepanjang perjalanan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” jelas jurucakap LLM.

Rancang Perjalanan Anda

Pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya merujuk kepada Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan oleh pihak konsesi lebuh raya. Selain itu, pemandu diingatkan supaya memastikan diri mendapat rehat yang mencukupi sebelum memulakan pemanduan jarak jauh.

Bagi mendapatkan maklumat trafik paling up-to-date, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol LLM di 1-800-88-7752 atau memantau paparan kamera litar tertutup (CCTV) trafik menerusi laman web rasmi agensi berkenaan.

Sumber: Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD