SEMENYIH – Dua individu yang dilaporkan tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan parkir awam berhampiran sebuah pasar raya di Vista Valley, semalam.
Polis menerima laporan berhubung penemuan kedua-dua mangsa pada kira-kira jam 3.54 petang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai saling mengenali.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa ditemukan berada di tempat duduk hadapan sebuah kereta jenis Hyundai Atos.
“Pemeriksaan awal di lokasi mendapati tiada kesan kenderaan itu diumpil, selain kedua-dua mangsa juga tidak mempunyai kecederaan atau tanda jelas yang menunjukkan berlaku unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut turut mendapati kedua-dua mereka telah tidak dapat dihubungi dan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari sebelum mayat mereka ditemukan.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk menjalani proses bedah siasat.
Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat dikenal pasti kerana polis masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal.
Setakat ini, pihak polis memaklumkan tiada unsur jenayah ditemukan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua individu tersebut.
Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu keputusan penuh pemeriksaan makmal.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978 8804.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?