NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Nak Seludup RXZ, Tapi Kereta Pula Ditinggalkan Dalam Semak

Nak Seludup RXZ, Tapi Kereta Pula Ditinggalkan Dalam Semak

RANTAU PANJANG: Taktik menyembunyikan sebuah motosikal Yamaha RXZ di dalam kereta terbongkar selepas kenderaan terbabit ditemui ditinggalkan di kawasan semak di Kampung Tok Deh, di sini, petang semalam.

Motosikal berkenaan ditemui Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 3 petang menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, penemuan itu bermula apabila anggota yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah Proton Gen 2 dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah pangkalan haram.

Menurutnya, anggota kemudian mengekori kenderaan berkenaan sebelum pemandunya bertindak memecut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Kereta terbabit kemudiannya ditemui ditinggalkan di kawasan semak di Kampung Tok Deh.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah motosikal Yamaha RXZ di bahagian penumpang belakang yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri dan masih belum dikesan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap nombor enjin motosikal mendapati kenderaan itu tidak berdaftar di Malaysia.

Motosikal berkenaan disyaki dibawa masuk secara tidak sah dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang.

Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah Proton Gen 2 dan Yamaha RXZ tersebut dianggarkan berjumlah RM20,000.

Kesemua rampasan telah dirujuk kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy