4.4 juta kenderaan usang ancam kesihatan Malaysia ibarat ‘bom jangka’ yang semakin mendesak.
Pensyarah Kanan Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak memberi amaran serius bahawa lebih 4.4 juta kenderaan usang yang masih aktif di jalan raya negara memberi ancaman besar kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Kenderaan Berusia 20 Tahun Hasilkan 40 Peratus Lebih Bahan Cemar
Dr Mohd Yusoff menjelaskan bahawa enjin lama yang kurang cekap menggunakan bahan api secara berlebihan, menyebabkan peningkatan jejak karbon per kilometer yang ketara berbanding kenderaan baharu. Beliau menegaskan bahawa angka ini bukan sekadar statistik biasa.
“Amnya, kenderaan berusia lebih 20 tahun berpotensi mengeluarkan sehingga 40 peratus lebih banyak bahan cemar berbanding kenderaan baharu berikutan ketiadaan teknologi kawalan pelepasan asap yang moden berbanding model terkini.”
“Selain itu, kecanggihan teknologi lama sudah semakin ketinggalan dan secara relatifnya menyumbang kepada pemanasan global serta penurunan kualiti udara bandar melalui pelepasan gas rumah hijau seperti karbon monoksida (CO) dan nitrogen oksida (NOx),” katanya.
Ancaman Kesihatan Serius: Asma, Bronkitis Dan Gangguan Jantung
Kesan pencemaran udara akibat kenderaan usang ini turut membawa implikasi kesihatan yang amat membimbangkan kepada penduduk, terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Dr Mohd Yusoff menjelaskan bahawa sebahagian besar gas karbon monoksida (CO) di udara bandar Malaysia berpunca daripada pelepasan asap kenderaan bermotor.
“Pendedahan berterusan kepada asap kenderaan meningkatkan risiko asma, bronkitis dan penyakit berkaitan paru-paru. Manakala zarah halus dalam bentuk bahan cemar (PM2.5) pula berisiko boleh memasuki aliran darah dan dikatakan berpotensi menyebabkan radang saluran darah serta risiko berkaitan fungsi organ jantung. Bagi kanak-kanak pula, dedahan awal kepada pencemaran udara trafik dikaitkan dengan gangguan perkembangan kognitif, menjejaskan fungsi paru-paru dan peningkatan risiko alahan,” jelasnya.
Kualiti Udara Bandar Bakal Merosot Jika Tiada Tindakan Tegas
Dr Mohd Yusoff turut memberi amaran bahawa jika tiada tindakan tegas diambil, peningkatan jumlah kenderaan lama akan seiring dengan peningkatan kadar pelepasan asap yang bakal menyebabkan kualiti udara bandar di Malaysia semakin merosot.
“Ini meningkatkan kes penyakit pernafasan dalam kalangan penduduk. Apabila ini berlaku, beban kos kesihatan akan meningkat, sementara negara berisiko gagal mencapai sasaran komitmen iklim dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Kitar Semula Kenderaan Lama: Penyelesaian Tapi Bukan Satu-satunya Jawapan
Dr Mohd Yusoff menjelaskan bahawa kitar semula kenderaan lama boleh mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar melalui penggunaan semula komponen seperti logam dan plastik.
Pelepasan bahan toksik ke persekitaran boleh dielakkan selain daripada mengurangkan keperluan perlombongan bagi mendapatkan bahan mentah baharu.
“Kitar semula kenderaan lama bantu alam sekitar dengan mengelak pembuangan sisa toksik seperti minyak dan bateri ke persekitaran, menggunakan semula bahan berharga seperti besi dan aluminium untuk mengurangkan keperluan terhadap perlombongan bagi mendapatkan bahan baharu serta mengurangkan jejak karbon.”
“Bagaimanapun ia bukan penyelesaian lengkap, kerana ia perlu digabungkan dengan pengurangan penggunaan kenderaan pelepasan tinggi karbon serta perubahan sikap kepada menggunakan pengangkutan awam untuk impak yang lebih bermakna,” tambahnya.
Insentif Kewangan Dan Kempen Kesedaran Perlu Diperkukuh
Dr Mohd Yusoff turut menyentuh isu kesedaran masyarakat yang masih terhad, di mana ramai belum memahami proses kitar semula kenderaan yang betul, manakala sebahagian lagi enggan membayar yuran pelupusan. Beliau mencadangkan beberapa langkah konkrit untuk meningkatkan penerimaan umum terhadap program ini.
“Penerimaan umum boleh dipertingkatkan dengan penambahbaikan insentif kewangan seperti geran padanan lebih tinggi atau potongan cukai lebih banyak dengan kemudahan pelupusan yang mudah diakses atau secara bergerak di setiap negeri.”
Dr. Mohd Yusoff juga menambah bahawa kempen kesedaran berterusan berhubung impak kesihatan dan alam sekitar kenderaan lama yang digabungkan dengan penguatkuasaan ujian pelepasan yang lebih ketat oleh agensi penguatkuasa dapat memberi motivasi tambahan.
“Seperti dalam kebanyakan kes, pendekatan reward, not punish lebih berkesan dalam konteks Malaysia,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?