Cubaan lebih 80 warga Myanmar untuk menceroboh masuk ke Malaysia secara haram gagal selepas mereka dikesan bersembunyi di sebuah kawasan hutan di daerah Na Mom, Songkhla, semalam.
Kumpulan migran tersebut ditemui pihak berkuasa Thailand hasil maklumat penduduk kampung yang curiga dengan aktiviti di kawasan kaki bukit berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.
Hasil siasatan mendedahkan setiap individu sanggup membayar upah yang sangat tinggi kepada ejen, iaitu antara RM10,300 hingga RM20,200 seorang, semata-mata demi mendapatkan pekerjaan di Malaysia.
Malangnya, harapan mereka lebur selepas pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Pihak berkuasa menemukan kumpulan lelaki dan wanita itu sedang berlindung dalam keadaan daif di bawah pokok dan semak samun bagi mengelak dikesan.
“Sebahagian mereka mendirikan tempat perlindungan sementara menggunakan kanvas di bawah pokok dan pemeriksaan mendapati semua mereka terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” jelas jurucakap keselamatan Thailand.
Kumpulan ini dipercayai telah memulakan perjalanan dari bandar Payathonzu, Myanmar sejak enam hari lalu sebelum menyusup masuk ke Thailand melalui laluan haram di daerah Sangkhlaburi.
Mereka kemudiannya dihantar secara berperingkat menggunakan lori enam roda dan kenderaan pacuan empat roda sebelum ditinggalkan di kawasan hutan tersebut pada pagi hari kejadian.
“Pihak imigresen kini menjalankan saringan terhadap semua tahanan bagi menentukan sama ada mereka adalah mangsa pemerdagangan manusia, walaupun dapatan awal menunjukkan mereka datang secara sukarela. Selepas proses saringan selesai, tindakan undang-undang akan diambil sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal,” tambah jurucakap itu lagi.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di dewan pejabat daerah Na Mom untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa Thailand sebelum tindakan seterusnya diambil.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?