NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Ubah Suai Lori Tiga Tan Kantoi, KPDN Perak Buat Rampasan 5,070 Liter Diesel Di Ayer Tawar

Ubah Suai Lori Tiga Tan Kantoi, KPDN Perak Buat Rampasan 5,070 Liter Diesel Di Ayer Tawar

Isu penyelewengan bahan api kawalan terus digempur tanpa kompromi. Pihak berkuasa berjaya merekodkan rampasan 5,070 liter diesel di sebuah premis perniagaan kayu dan perkakasan yang terletak di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar.

Serbuan mengejut pada jam 12.30 pagi semalam yang dijayakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung bersama Pasukan Polis Marin telah berjaya melumpuhkan kegiatan haram tersebut.

Taktik licik sindiket yang menjadikan premis berkenaan sebagai lokasi transit pengumpulan diesel secara tidak sah akhirnya ditumpaskan selepas risikan rapi dijalankan.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, semasa serbuan dilakukan, pihak berkuasa telah mengesan seorang lelaki tempatan sedang memindahkan cecair disyaki minyak diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki IBC. Hasil pemeriksaan lanjut mendedahkan modus operandi yang mana lori tersebut didapati telah diubah suai secara haram dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang kenderaan.

KPDN menemui lapan unit invois belian yang menunjukkan suspek melakukan pembelian secara berulang kali di sebuah stesen minyak yang sama di sekitar Sitiawan. Taktik mengumpul stok dalam kuantiti yang besar sebelum dijual semula kepada pasaran industri ini adalah satu eksploitasi yang merugikan.

Jenayah ketirisan bahan api berskala besar sebegini bukan sahaja merosakkan ekosistem ekonomi, malah ia adalah satu rompakan terang-terangan terhadap hak rakyat yang wajib dibanteras habis-habisan.

Susulan pembongkaran itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan kes serta-merta dengan menyita kesemua cecair disyaki minyak diesel tersebut berserta lori tiga tan yang digunakan.

Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah satu tangki skid, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber dan juga empat unit hos. Menurut Datuk Kamalludin, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah jumlah RM56,371.40.

Kes ini sedang disiasat secara terperinci di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan–Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD