Sebut sahaja pasal kenderaan elektrik (EV) atau hibrid, benda pertama yang akan bermain di fikiran ramai orang Malaysia bukannya pasal jimat minyak, tapi pasal keselamatan bateri.
Hari ini, pihak Chery Malaysia telah melakukan sesuatu yang luar biasa untuk membuktikan betapa hebatnya kejuruteraan mereka melalui ujian bateri menggunakan api, dan dilakukan secara langsung.
Dalam demonstrasi yang disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk wakil media dan pihak berkuasa, ujian api bateri Chery ini memfokuskan kepada pek bateri yang digunakan pada model TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV.
Bateri ini bukan setakat diletakkan dekat dengan punca haba, tapi didedahkan terus kepada api bersuhu tinggi selama 1 minit 20 saat.
Dalam ujian tersebut, pek bateri telah digantung di atas nyalaan api terbuka. Api yang dibakar menggunakan petrol RON95 itu mencecah suhu ekstrem melebihi 1,000 darjah Celsius.

Sebaik sahaja ujian selesai, kelihatan kepulan asap putih seketika, kemungkinan besar berpunca daripada selongsong luar bateri, sebelum ia beransur reda apabila suhu mula menurun.
Menariknya, apabila diteliti dengan lebih dekat, kesan kerosakan fizikal hanya terhad pada bahagian bawah selongsong bateri sahaja. Bahagian atasnya pula kelihatan hampir sempurna seperti baharu, tanpa sebarang tanda kembung yang biasanya dikaitkan dengan kegagalan bateri

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo menegaskan, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami. Selain mematuhi keperluan peraturan, kami menjalankan ujian pengesahan yang ketat dan bersifat ekstrem… bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta sebab kami yakin terhadap tahap keselamatan produk kami”.
Bagi memastikan pematuhan kualiti bertaraf dunia, Chery turut melaksanakan siri ujian bateri yang ekstrem di peringkat global. Ini termasuklah ujian integriti struktur menerusi enam das tembakan peluru di Ecuador, rendaman di dalam air laut menghakis selama 53 jam di Indonesia tanpa sebarang kebocoran elektrik, serta ujian ketahanan suhu melampau di Qatar dan Kuwait yang melibatkan timbunan pasir gurun dan rendaman air laut bersuhu 60 darjah Celsius selama 48 jam.
Tambahan pula, ujian geseran bawah kenderaan (scraping test) telah dijalankan di Mexico bagi menjamin kelangsungan dan keselamatan bateri apabila berdepan dengan risiko impak permukaan jalan yang teruk.
TIGGO 7 PHEV secara rasminya telah memegang rekod skor tertinggi dalam sejarah ASEAN NCAP dengan penarafan 5-bintang (94.68 mata), membuktikan aspek keselamatan bukan sahaja pada bateri, malah pada keseluruhan struktur badan kereta itu sendiri.
Bagi yang ada keraguan, Chery Malaysia menawarkan jaminan bateri sehingga 10 tahun atau 200,000km, meliputi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan.
Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menyimpulkan, “Pencapaian ini adalah tentang menyediakan sebuah Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-in (PHEV) yang seimbang dan boleh dipercayai oleh pelanggan… menggabungkan prestasi keselamatan yang terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka”.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?