Rahsia Dapatkan Set Lengkap Pakaian Salji Bawah RM300

Rahsia Dapatkan Set Lengkap Pakaian Salji Bawah RM300

Tidak lama lagi, New Zealand dan Australia bakal mengalami musim sejuk, jadi pada anda yang mempunyai rancangan untuk bercuti ke dua negara ini, wajib baca sebagai penyelamat poket!

Sebenarnya, anda boleh berjimat besar untuk mendapatkan set lengkap pakaian salji daripada topi hingga ke kasut dengan bajet tidak sampai RM300. 

Rahsia utamanya adalah dengan memburu pakaian di kedai bundle pakaian musim sejuk yang banyak terdapat di sekitar Kuala Lumpur, Klang, atau kawasan TBS.

Di situ anda boleh dapatkan jaket salji berkualiti pada harga serendah lima puluh ke lapan puluh ringgit sahaja berbanding membeli yang baru yang boleh mencecah sehingga RM1,000. 

Bukan itu sahaja, sebelum membeli, anda juga perlu tahu perbezaan besar antara winter jacket biasa dengan snow jacket.

Jika anda bercadang ke destinasi yang bersalji, anda wajib mencari snow jacket yang kalis air supaya apabila salji jatuh atau mencair di atas baju, ia tidak akan meresap masuk dan membasahkan baju di bahagian dalam. 

Pastikan jaket tersebut mempunyai zip hingga ke paras leher, mempunyai hoodie untuk melindungi telinga yang sangat sensitif terhadap sejuk, serta mempunyai banyak poket di bahagian dalaman bagi mengelakkan ancaman penyeluk saku yang sering mensasarkan pelancong di luar negara. 

Untuk sistem pemakaian pula, jangan sesekali abaikan teknik empat lapis yang sangat berkesan untuk mengekalkan suhu badan iaitu dimulakan dengan lapisan thermal atau long john yang baru, kemudian diikuti dengan t-shirt, sweater, dan barulah disarungkan dengan jaket salji di lapisan paling luar. 

Bahagian yang paling kritikal untuk dilindungi adalah jari tangan dan telinga kerana kedua-dua organ ini mempunyai lapisan lemak dan daging yang sangat nipis menyebabkan ia paling cepat terasa sejuk hingga boleh membuatkan seluruh badan korang kaku dan tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti. 

Jangan lupa juga tentang pemilihan sarung tangan yang kalis air dan sangat disyorkan untuk menggunakan dua lapis supaya korang masih boleh menggunakan skrin sentuh telefon tanpa perlu mendedahkan kulit secara terus kepada udara sejuk yang melampau. 

Bagi bahagian kaki pula, elakkan sama sekali memakai kasut sukan biasa terutamanya jenama yang mempunyai tapak licin seperti Nike kerana berjalan di atas lapisan ais yang tebal sangat membahayakan tanpa cengkam yang kuat. 

Pilihlah kasut jenis high-cut yang mempunyai lapisan fleece di dalam serta tapak yang mempunyai cengkam tebal seperti jenama Timberland untuk memastikan kaki korang sentiasa hangat, kering, dan tidak mudah tergelincir ketika mendaki kawasan yang berbukit. 

Dengan bajet serendah RM300 seorang, korang bukan sahaja dapat berjimat malah boleh bergaya dengan pelbagai pilihan baju yang cantik tanpa perlu mengoyakkan poket sendiri semata-mata untuk percutian yang mungkin hanya dilakukan sekali dalam masa beberapa tahun.

Sumber: Terpaling Travel

Kalau anda mahu lebih banyak tips travel yang menarik, jangan lupa follow @terpalingtravel di TikTok!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD