Seorang lelaki berusia 48 tahun dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya.
Tertuduh, Muhammad Ilyas Mohd Mokhtar, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin sebaik sahaja pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan keji itu dilakukan terhadap mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di dalam sebuah kereta.
Kejadian berlaku antara jam 9 malam hingga 10 malam pada 23 April lalu ketika mereka dalam perjalanan dari Kampung Bertam menuju ke Ayer Molek, Melaka Tengah.
Difahamkan, mangsa pada ketika itu mengikut tertuduh bagi urusan mengambil geran kereta sebelum lelaki berkenaan mengambil kesempatan melakukan amang seksual fizikal terhadapnya.
Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada seorang jiran sebelum laporan polis dibuat bagi tindakan lanjut.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyum Ramlan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira faktor usia mangsa yang masih di bawah umur.
Beliau menegaskan bahawa tertuduh yang mengenali mangsa sepatutnya bertindak sebagai pelindung dan bukannya mengambil kesempatan terhadap kepercayaan yang diberikan.
Walaupun tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menyara seorang anak serta ibu yang uzur, mahkamah tetap memutuskan hukuman setimpal di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 demi memberi pengajaran kepada masyarakat.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?