Pasang EV Secara Tempatan Atau Tinggalkan Pasaran Malaysia – BIMB Securities

Pasang EV Secara Tempatan Atau Tinggalkan Pasaran Malaysia – BIMB Securities

Pengeluar kenderaan elektrik (EV) asing kini berdepan dengan pilihan yang semakin sukar sama ada untuk mempercepatkan proses pemasangan tempatan (CKD) atau menarik diri daripada persaingan pasaran massa di Malaysia.

Menurut nota penyelidikan daripada BIMB Securities, langkah ini susulan syarat import baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Julai akan datang.

Dasar ini menetapkan harga minimum kos, insurans, dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa motor minimum 180 kilowatt (kW) bagi semua unit EV yang diimport sepenuhnya (CBU) di bawah sistem Permit Import (AP) francais.

Langkah ini dijangka akan mengubah landskap industri EV negara secara drastik daripada model dipacu import kepada ekosistem berasaskan lokalisasi.

Dengan penetapan nilai CIF pada RM200,000, harga atas jalan (OTR) bagi sesebuah unit EV CBU dijangka melonjak ke paras premium antara RM300,000 hingga RM360,000 selepas mengambil kira margin dan cukai tempatan.

Keadaan ini secara tidak langsung menamatkan era EV CBU mampu milik sebaik sahaja pengecualian cukai menyeluruh tamat pada Disember 2025, sekali gus memaksa jenama automotif asing untuk melabur dalam fasiliti pemasangan tempatan jika ingin kekal kompetitif dalam segmen harga di bawah RM250,000.

BIMB Securities turut menjelaskan bahawa peralihan ini merupakan fasa ketiga yang lebih agresif dalam dasar EV negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bebas duti, terutamanya daripada pengeluar China.

Walaupun model premium berprestasi tinggi seperti BYD Sealion 7 atau BMW iX dijangka tidak terkesan, segmen EV massa premium dalam julat harga RM150,000 hingga RM250,000 bakal menyaksikan pengurangan pilihan yang ketara buat pengguna.

Sebaliknya, syarikat automotif tempatan yang mempunyai pendedahan CKD yang kukuh seperti DRB-HICOM dilihat bakal menerima manfaat besar daripada penstrukturan semula dasar ini.

Walau bagaimanapun, pendekatan perlindungan yang terlalu agresif ini turut membawa risiko tersendiri terhadap ekosistem EV secara keseluruhan.

Sekiranya harga kenderaan menjadi terlalu tinggi, kadar penggunaan EV dalam kalangan rakyat mungkin akan menjadi perlahan, sekali gus menjejaskan pulangan pelaburan bagi pengendali infrastruktur pengecasan seperti Gentari dan JomCharge.

Selain itu, terdapat kebimbangan bahawa pengguna mungkin beralih semula kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) atau mencari alternatif melalui pasaran import terpakai jika halangan harga bagi EV baharu terlalu membebankan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD