Keputusan kerajaan China melanjutkan tempoh pengecualian visa sehingga 15 hari bagi pemegang pasport Malaysia sehingga penghujung tahun 2025 telah mencetuskan lonjakan trend dalam kalangan pelancong tempatan.
Namun, di sebalik kemudahan akses tersebut, ramai pengembara Malaysia yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara tembok besar ini berhadapan dengan tamparan realiti yang cukup mencabar.
Jadi, ini persediaan wajib yang korang kena buat sebelum terbang ke China.
Masalah utama yang sering berlaku bukanlah isu bahasa, sebaliknya kegagalan teknikal dalam urusan pembayaran dan sekatan akses internet yang boleh melumpuhkan seluruh jadual perjalanan jika tidak bersedia dari awal.
Perkara paling kritikal yang perlu difahami adalah China kini merupakan sebuah negara yang hampir 100 peratus tanpa tunai (cashless).
Walaupun wang kertas Yuan masih sah di sisi undang-undang, banyak premis perniagaan kecil, gerai jalanan, malah pemandu teksi akan berasa kekok atau enggan menerima tunai kerana ketiadaan baki.


Justeru, persediaan wajib adalah memuat turun aplikasi Alipay atau WeChat Pay. Berita baiknya, pelancong Malaysia kini boleh memautkan kad debit atau kredit tempatan (seperti Wise, GXBank, MAE, atau BigPay) terus ke dalam aplikasi Alipay.
Ini membolehkan anda membuat bayaran hanya dengan mengimbas kod QR, sama seperti penggunaan DuitNow di Malaysia.
Walau bagaimanapun, pengembara perlu berwaspada dengan ‘peraturan 200 RMB’.
Mengikut polisi semasa, sebarang transaksi di bawah 200 Yuan menerusi Alipay yang dipautkan dengan kad antarabangsa biasanya tidak dikenakan caj tambahan oleh pihak Alipay.
Namun, jika transaksi melebihi jumlah tersebut, caj perkhidmatan sebanyak 3 peratus akan dikenakan.

Bagi mengelakkan kos tersembunyi, anda dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi TourPass atau menggunakan kad kad prabayar yang mempunyai kadar pertukaran mata wang yang rendah.
Selain itu, pastikan fungsi ‘International Transaction’ pada kad bank anda telah diaktifkan sebelum berlepas dari KLIA.
Satu lagi cabaran besar ialah ‘The Great Firewall’ China yang menyekat akses kepada aplikasi utama seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, dan Google (termasuk Google Maps).
Untuk kekal berhubung dengan keluarga di tanah air, pilihan paling sahih dan stabil adalah dengan melanggan pelan Roaming daripada syarikat telekomunikasi Malaysia (seperti Celcom, Maxis, atau Digi) atau menggunakan Travel Sim khas.
Penggunaan roaming Malaysia secara automatik akan memintas sekatan internet di China, membolehkan anda mengakses semua media sosial tanpa memerlukan VPN yang sering kali tidak stabil dan berisiko dari segi keselamatan data.
Selain itu, anda perlu menerima hakikat bahawa Google Maps tidak berfungsi dengan tepat di China.
Sebagai alternatif, muat turun aplikasi Amap (Gaode Maps) atau Baidu Maps.

Walaupun paparan utamanya dalam bahasa Mandarin, ia jauh lebih tepat dalam menunjukkan laluan tren bawah tanah (Metro) dan kedudukan kedai yang terkini.
Untuk memudahkan komunikasi, pastikan aplikasi Google Translate atau Baidu Translate sudah dimuat turun dengan pakej bahasa ‘offline’.
Dengan persediaan digital yang lengkap ini, pengembara Malaysia bukan sahaja dapat menikmati keindahan bandaraya seperti Shanghai dan Beijing dengan tenang, malah dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kemajuan teknologi di sana.
Kalau anda mahu lebih banyak tips travel yang menarik, jangan lupa follow @terpalingtravel di TikTok!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?