Di saat ekonomi dunia masih bergelut dengan pelbagai ketidaktentuan global, termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada harga minyak dunia, Malaysia pula menerima berita yang cukup positif.
Ringgit Malaysia kini muncul sebagai mata wang dengan prestasi terbaik di Asia bagi tahun 2026, sekali gus menarik perhatian media antarabangsa termasuk dari Indonesia.

Setakat penutupan pasaran pada 28 April 2026, nilai Ringgit dilaporkan meningkat sebanyak 2.64% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Peningkatan itu meletakkan Ringgit di tangga teratas dalam kalangan mata wang Asia, mengatasi Yuan China yang merekodkan pengukuhan sebanyak 2.23% berbanding dolar AS.
Prestasi memberangsangkan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ekonomi Malaysia masih berada pada landasan yang kukuh walaupun dunia berdepan tekanan ekonomi dan geopolitik.
Menurut laporan CNBC Indonesia, terdapat tiga faktor utama yang menjadi penyumbang kepada pengukuhan Ringgit ketika ini.
Antaranya ialah prestasi perdagangan Malaysia yang stabil, pertumbuhan ekonomi negara yang terus berkembang serta kemasukan dana asing ke dalam pasaran modal tempatan.
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah perdagangan negara pada Mac 2026 meningkat sebanyak 9.3% kepada RM273 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, eksport negara melonjak 8.3% kepada RM148.8 bilion manakala import pula meningkat 10.4% kepada RM124.2 bilion.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia ketika ini berada dalam keadaan yang cukup stabil.
Beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 dijangka melepasi paras 5%, manakala eksport nominal negara turut berkembang sekitar 12.7% berbanding suku sebelumnya.
Menurut beliau lagi, keadaan itu menjadikan Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran global termasuk kenaikan harga minyak akibat konflik di Iran.
Selain itu, aliran masuk dana asing yang berterusan ke dalam pasaran tempatan turut membantu meningkatkan permintaan terhadap Ringgit.
Apa yang lebih menarik, Ringgit bukan sahaja mengukuh berbanding dolar AS, malah turut menunjukkan prestasi lebih baik berbanding hampir se
mua mata wang utama Asia.
Antara peningkatan terbesar dicatatkan terhadap Rupee India iaitu sebanyak 8.07%, diikuti Peso Filipina (7.31%), Rupiah Indonesia (6.76%) dan Baht Thailand (6.46%).
Ringgit turut mengatasi Won Korea sebanyak 5.24%, Yen Jepun (4.63%), Dolar Taiwan (3.57%), Dong Vietnam (2.82%) dan Dolar Singapura sebanyak 1.97%.
Malah, Ringgit juga berjaya mengatasi Yuan China walaupun dengan perbezaan kecil sekitar 0.41%.
Prestasi luar biasa Ringgit itu turut menjadi perhatian media Indonesia yang dilaporkan berseloroh dengan ayat “jangan iri” kepada rakyat mereka.
Walaupun sekadar gurauan, ia jelas menunjukkan kekuatan mata wang Malaysia kini mula dipandang serius di rantau Asia.
Perkembangan ini pastinya memberi suntikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa ekonomi negara masih mempunyai asas yang kukuh dan mampu terus bersaing di peringkat global.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?