NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Menara KL Sasar Untuk Capai Sejuta Pengunjung Tahun Ini

Menara KL Sasar Untuk Capai Sejuta Pengunjung Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Pengendali Menara Kuala Lumpur, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), menetapkan sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya sejuta pelawat pada tahun ini melalui penganjuran pelbagai aktiviti pelancongan serta pengenalan tarikan baharu sempena sambutan ulang tahun ke-30 mercu tanda tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman menyatakan bahawa sasaran tersebut dianggap realistik memandangkan perkembangan positif dalam sektor pelancongan sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, pada mulanya pihak syarikat menetapkan matlamat sejuta pengunjung, namun kini mereka yakin jumlah itu mampu melepasi angka tersebut menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini kita nampak sasaran itu berada pada landasan yang baik untuk dicapai,”

“Tahun lalu Menara KL menerima kira-kira sejuta pengunjung dan tahun ini kita yakin angka itu boleh ditingkatkan,” 

“Meskipun terdapat cabaran geopolitik global yang memberi sedikit kesan kepada ketibaan pelancong dari Eropah dan Asia Barat, sektor pelancongan tempatan masih berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur dan pelancaran Visit Malaysia Square @ Kuala Lumpur Tower di sini, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya sedang menjalinkan kerjasama erat bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia serta agensi pelancongan bagi memantau impak isu geopolitik dunia.

“Ada sedikit pembatalan kunjungan terutama dari Eropah dan Timur Tengah, tetapi kita tambah baik promosi dan fokus kepada pasaran Asia Pasifik serta ASEAN,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata perasmian Visit Malaysia Square @ Kuala Lumpur Tower dijangka menjadi magnet tarikan baharu yang mampu melonjakkan jumlah pelawat domestik mahupun antarabangsa.

“Dataran ini dibangunkan sebagai hab gaya hidup dan pelancongan yang menawarkan pengalaman santai kepada pengunjung di tengah ibu kota,”

“Bukan sahaja orang datang ke Menara KL untuk melihat pemandangan bandar tetapi ia juga menjadi tempat santai baharu untuk warga kota,”

“Kita sediakan ruang yang selesa, bersih dan selamat selain menampilkan trak makanan serta makanan tempatan,” katanya.

Beliau menambah, kawasan berkenaan kini dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 5 petang hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik terutamanya pada hujung minggu, termasuk siaran langsung perlawanan bola sepak bersempena Piala Dunia.

“Selain itu, Menara KL juga merancang membawa kembali acara antarabangsa seperti KL Tower BASE Jump dan KL Tower Run International Challenge 2026 sempena sambutan ulang tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur,” katanya.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD