NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Malaysia Airlines Sambut Ketibaan Pesawat Boeing Ke-200

Malaysia Airlines Sambut Ketibaan Pesawat Boeing Ke-200

Malaysia Aviation Group (MAG) secara rasmi menyambut ketibaan pesawat Boeing 737-8 yang keempat bagi tahun ini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, penyerahan ini adalah satu pencapaian yang amat bermakna buat syarikat penerbangan nasional tersebut.

Ketibaan pesawat ini bukan sekadar penambahan biasa, malah ia melambangkan pesawat Boeing yang ke-200 menyertai keluarga Malaysia Airlines sejak ia mula beroperasi pada tahun 1972.

Mengenai pencapaian ini, Kapten Nasaruddin menjelaskan bahawa langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat dalam memperkukuh operasi mereka di peringkat antarabangsa.

“Lebih daripada sekadar pertambahan kepada rangkaian pesawat kami, pencapaian bersejarah ini mencerminkan sejarah operasi sejak sekian lama yang menyokong pertumbuhan kapasiti dan evolusi armada kami selama beberapa dekad seiring dengan usaha meneruskan misi untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia,”

“Pengenalan pesawat generasi baharu ini akan terus memperkukuh keupayaan kami untuk menyokong peluang pertumbuhan masa depan dan memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berkembang, sambil terus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih moden dan selesa kepada para pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan MAG, sejarah penggunaan pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines merangkumi fasa perkembangan yang sangat bercita-cita tinggi. 

Penggunaan pesawat berbadan lebar seperti Boeing 747 dan Boeing 777 sebelum ini telah membuktikan keupayaan syarikat dalam penerbangan jarak jauh serta mengukuhkan hubungan global Malaysia. 

Evolusi daripada siri Boeing 737 terdahulu sehingga kini menunjukkan keupayaan syarikat untuk terus menyesuaikan diri dan memodenkan jangkauan operasinya.

Pesawat baharu dengan nombor pendaftaran 9M-MVR ini memulakan perjalanannya dari Pusat Penyerahan Boeing di Seattle, Amerika Syarikat pada 21 Mei 2026, jam 2 petang waktu tempatan. 

Sebelum tiba di tanah air, pesawat tersebut melakukan hentian teknikal untuk mengisi minyak di Honolulu dan Guam.

Penerbangan yang menggunakan kod MH5045 ini dikendalikan oleh barisan juruterbang berpengalaman iaitu Kapten Arian Syazwara Adenan, Kapten Mohd Aidilputra Abd Razak, serta Pegawai Kanan Pertama Ahmad Asnawi Ahmad Rahman. 

Pesawat tersebut selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam pada jam 1.30 tengah hari, selepas menamatkan tempoh penerbangan keseluruhan selama 19 jam 44 minit.

Pihak MAG menegaskan bahawa penambahan unit terbaharu ini selaras dengan fokus utama kumpulan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselesaan penumpang.

“Penambahan terbaharu ini mencerminkan tumpuan berterusan MAG terhadap pemodenan rangkaian pesawat selaras dengan usaha memperkukuh kesalinghubungan rangkaian, meningkatkan kecekapan dan menambah baik pengalaman perjalanan di seluruh rangkaiannya.”

“Boeing 737-8 memainkan peranan penting dalam menyokong operasi pesawat berbadan sempit kumpulan ini dengan kecekapan bahan api yang lebih tinggi, kebolehpercayaan yang lebih baik serta keselesaan penumpang yang dipertingkatkan,” menurut kumpulan itu.

Sehingga kini, MAG telah menerima sebanyak 18 buah pesawat Boeing 737-8. 

Ia merupakan sebahagian daripada tempahan besar melibatkan 55 pesawat berbadan sempit yang merangkumi 43 unit Boeing 737-8 dan 12 unit Boeing 737-10. 

Proses penyerahan baki pesawat tersebut dijadualkan akan berterusan sehingga tahun 2030.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD