NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Sistem Baharu Di Lapangan Terbang? Rakyat Malaysia Wajib Tahu Sebelum Ke Kaunter Imigresen

Sistem Baharu Di Lapangan Terbang? Rakyat Malaysia Wajib Tahu Sebelum Ke Kaunter Imigresen

Sekiranya sudah agak lama anda tidak melakukan perjalanan ke luar negara, anda mungkin akan menyedari beberapa perubahan pada kali seterusnya anda melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang Malaysia.

Antaranya ialah penggunaan MyNIISe (Sistem Imigresen Bersepadu Nasional Malaysia), sebuah aplikasi mudah alih imigresen baharu yang membantu memudahkan proses pelepasan imigresen bagi rakyat Malaysia apabila memasuki atau meninggalkan negara ini.

Bagaimanapun, untuk menggunakannya, pengembara terlebih dahulu perlu mendaftar untuk MyDigital ID.

Berikut adalah cara MyNIISe berfungsi, mengapa MyDigital ID diperlukan, dan apa yang telah berubah di lapangan terbang Malaysia.

Apakah itu MyNIISe?

MyNIISe ialah sebuah aplikasi mudah alih yang berfungsi sebagai platform imigresen digital baharu bagi Jabatan Imigresen.

Tujuan utamanya adalah sangat jelas, ia menyediakan kaedah yang lebih baik untuk melepasi pemeriksaan imigresen apabila berlepas dari atau kembali ke tanah air.

Daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada cip elektronik pasport pada sistem pagar automatik (autogate), pengembara Malaysia kini hanya perlu menjana kod QR melalui aplikasi MyNIISe dan mengimbasnya di autogate.

Pengembara bagaimanapun masih perlu membawa pasport fizikal mereka, memandangkan MyNIISe tidak menggantikan dokumen perjalanan atau pemeriksaan imigresen.

Kod QR tersebut juga mempunyai tempoh luput, yang mana pengembara perlu menjana kod yang baharu sebelum menggunakannya di autogate.

Di manakah anda boleh menggunakannya?

Sistem autogate berasaskan kod QR ini sedang diperkenalkan secara berperingkat di lapangan terbang antarabangsa utama Malaysia, termasuk:

  • Bangunan Sultan Iskandar (BSI)
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru

Memandangkan pelaksanaan ini sedang berterusan, lebih banyak pintu masuk dijangka akan ditambah, dengan sasaran pelaksanaan penuh di seluruh negara menjelang September ini.

Adakah ia lebih pantas?

Idea di sebalik pengenalan MyNIISe adalah untuk menjadikan pelepasan imigresen lebih cepat dan lebih mudah — tiada lagi masalah memegang pelbagai dokumen perjalanan di tangan anda, apa yang anda perlukan hanyalah telefon bimbit anda.

Dalam ujian secara praktikal oleh pihak Malay Mail, proses melepasi autogate berasaskan kod QR ini mengambil masa kurang daripada satu minit selepas kod QR tersebut diimbas.

Sebagai perbandingan, mesin pembaca pasport elektronik kadangkala memerlukan beberapa kali percubaan sebelum dapat mengesan cip pasport.

Penulis sendiri pernah menghadapi masalah sedemikian bukan sahaja di lapangan terbang Malaysia, malah ketika melakukan perjalanan melalui pelbagai negara lain seperti Indonesia dan beberapa bahagian di United Kingdom.

Mengapakah MyNIISe tidak menggunakan log masuk tersendiri?

Daripada mencipta nama pengguna dan kata laluan yang berasingan bagi setiap aplikasi kerajaan, pihak kerajaan secara beransur-ansur mula menggunakan MyDigital ID sebagai platform pengesahan tunggal.

Ini bermakna apabila lebih banyak perkhidmatan disepadukan, rakyat Malaysia boleh menggunakan satu identiti digital yang disahkan untuk mengakses pelbagai platform kerajaan dan bukannya mengekalkan akaun yang berbeza-beza.

Dalam konteks ini, ia meningkatkan tahap keselamatan dan pengesahan identiti melalui kaedah Log Masuk Tunggal (SSO), bagi memastikan identiti pengguna adalah sah dan dipercayai.

Adakah penggunaan MyNIISe ini wajib?

Belum lagi.

Pihak kerajaan sedang melaksanakan sistem ini secara berperingkat, bermakna rakyat Malaysia boleh terus melepasi pemeriksaan imigresen menggunakan MyBorderPass (di autogate) atau kaunter imigresen manual di mana-mana yang tersedia.

Ini sebenarnya adalah masa yang baik untuk pengembara menguji aplikasi mudah alih MyNIISe mereka sebelum pelaksanaan penuh dijalankan.

Kenapa saya memerlukan MyDigital ID?

Sekiranya anda masih keliru, untuk menggunakan MyNIISe, anda memerlukan MyDigital ID bagi mengaksesnya.

Fikirkan ia seperti ini:

  • MyNIISe adalah perkhidmatannya.
  • MyDigital ID adalah identiti digital yang mengesahkan siapa diri anda sebelum anda boleh menggunakan perkhidmatan tersebut.

MyDigital ID ialah platform identiti digital kebangsaan kerajaan yang mengesahkan pengguna berdasarkan rekod rasmi kerajaan, membolehkan mereka log masuk dengan selamat ke dalam perkhidmatan digital yang mengambil bahagian.

Ia sama sekali tidak menggantikan MyKad, pasport atau dokumen identiti fizikal anda yang lain.

Di mana lagikah MyDigital ID digunakan?

Walaupun ramai rakyat Malaysia mula mengenali MyDigital ID melalui MyNIISe, ia bertujuan untuk menjadi log masuk biasa merentasi jumlah perkhidmatan digital kerajaan yang semakin berkembang.

Antara platform yang sudah pun disepadukan dengan MyDigital ID adalah:

  • MyJPJ
  • MyGOV Malaysia
  • MySejahtera
  • MyPTPTN
  • MyHRMIS Mudah Alih
  • MyBayar Saman
  • BUDI Madani dan portal kerajaan terpilih

Pelaksanaannya juga telah mula diperluaskan ke sektor swasta. 

Sebagai contoh, penulis mendapati bahawa aplikasi mudah alih CelcomDigi kini menyokong penyepaduan MyDigital ID — anda boleh menggunakan MyDigital ID anda untuk log masuk ke dalam aplikasi mudah alih CelcomDigi.

Sesetengah pengguna mungkin menghadapi keperluan untuk pengesahan cap jari dalam aplikasi MyDigital ID. 

Bagaimanapun, seperti yang dinyatakan dalam aplikasi mudah alih tersebut, pengesahan cap jari digunakan untuk tujuan tertentu sahaja dan tidak menjejaskan status MyDigital ID anda.

Satu akaun MyDigital ID juga mempunyai tempoh sah yang bertahan selama satu tahun (seperti yang dinyatakan dalam aplikasi) dan boleh diperbaharui sebaik sahaja ia tamat tempoh.

Jika anda merancang untuk melancong ke luar negara dalam beberapa bulan akan datang, pastikan anda mempunyai MyDigital ID yang sah sebelum tiba di lapangan terbang, terutamanya jika anda bercadang untuk menggunakan MyNIISe.

Pastikan anda menjana kod QR MyNIISe anda sebelum beratur di autogate — ia mengambil masa beberapa minit (untuk memproses MyDigital ID) bergantung kepada kekuatan isyarat telekomunikasi.

Bagi mereka yang melancong dalam kumpulan, aplikasi mudah alih MyNIISe ini juga sangat berguna kerana ia membenarkan pelepasan imigresen secara berkumpulan.

Sila ambil perhatian bahawa fungsi kod QR berkumpulan ini membantu mempercepatkan proses pengambilan maklumat pengembara dan setiap individu tetap perlu melepasi pemeriksaan imigresen secara berasingan.

Walaupun anda memilih untuk tidak menggunakan MyNIISe, kaedah pelepasan imigresen sedia ada seperti MyBorderPass dan kaunter imigresen biasa masih tersedia sepanjang tempoh peralihan ini.

Sumber: Malay Mail

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy