KUALA LUMPUR – Jutaan pengguna lebuh raya di seluruh negara bakal menikmati pengalaman pembayaran tol yang jauh lebih fleksibel dan lancar apabila PLUS Malaysia Bhd (PLUS) mengesahkan bakal memperluas pelaksanaan platform JustGO ke semua plaza tol kendaliannya bermula Ogos 2026.
Langkah pendigitalan berskala besar ini disokong oleh peluasan fasa pengaktifan terbaharu di Wilayah Selatan sebagai persediaan akhir sebelum pelaksanaan penuh di seluruh rangkaian lebuh raya PLUS.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, PLUS meneruskan kempen #LANEFREEDOM melalui pengaktifan JustGO di enam lagi plaza tol terpilih berkuat kuasa jam 10 pagi, Rabu, 15 Julai 2026.
Pengaktifan fasa baharu ini merangkumi Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) iaitu di Plaza Tol Mambau, Lukut, Kempas, Tanjung Kupang, Lima Kedai, serta Perling.
“Pengguna yang telah mendaftar boleh membayar tol menggunakan nombor plat kenderaan dan menikmati #LANEFREEDOM di plaza tol yang telah diaktifkan,” menurut kenyataan media rasmi syarikat konsesi berkenaan.
Pelaksanaan sistem canggih ini menjadikan PLUS sebagai antara peneraju utama dalam penggunaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan Sistem Pengecaman Nombor Plat (ANPR) dalam industri lebuh raya Malaysia.
Dari sudut operasi, kamera ANPR yang dipasang di lorong tol akan mengesan nombor plat kenderaan yang telah berdaftar secara automatik dan memproses pemotongan bayaran tol menerusi kad pembayaran yang dipautkan di dalam aplikasi.
“Menerusi sistem berkenaan, pengguna boleh masuk dan keluar melalui mana-mana lorong tersedia tanpa perlu menggunakan lorong khusus berdasarkan kaedah pembayaran sedia ada,” jelas PLUS mengenai kemudahan sistem tersebut.
Untuk menikmati kemudahan terbaharu ini, pengguna lebuh raya hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO, mendaftar akaun serta kenderaan masing-masing, dan memautkan kad pembayaran yang pilihan.
Sebelum pengaktifan di Wilayah Selatan ini, JustGO telah pun menjalani projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026, sebelum diperluas ke Plaza Tol Jitra, Lunas, serta Kubang Semang pada Jun 2026.
Peluasan berperingkat ini menjadi pelengkap kepada pelaksanaan penuh JustGO di keseluruhan rangkaian PLUS menjelang Ogos ini.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?