NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Syarat Pendaftaran EV Kini Lebih Ketat, Wajib Ada Nombor Siri Dan Casis Yang Jelas

Syarat Pendaftaran EV Kini Lebih Ketat, Wajib Ada Nombor Siri Dan Casis Yang Jelas

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengetatkan syarat pendaftaran bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia berikutan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Langkah ini diambil bagi memperkukuh undang-undang sedia ada serta membanteras isu penipuan dan kewujudan kenderaan klon membabitkan segmen kenderaan bebas emisi berkenaan.

Pindaan Seksyen 10: Pengenalan Nombor Siri Khas Bagi EV

Menerusi pindaan pada Seksyen 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987, syarat pendaftaran baharu ini diperkenalkan dengan mengambil kira faktor struktur binaan EV yang tidak mempunyai nombor enjin seperti kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) konvensional.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menegaskan bahawa setiap kenderaan elektrik yang mahu didaftarkan di dalam negara kini tertakluk kepada pengenalan identiti kenderaan yang lebih spesifik dan tidak boleh diubah suai.

“Bagi kenderaan motor elektrik, pindaan ini memperjelaskan bahawa kenderaan tersebut perlu mempunyai nombor siri kenderaan motor elektrik dan nombor casis yang terang, jelas, dan tidak terusik,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Kuasa JPJ Sekat Kelulusan Lesen Kenderaan Rosak Atau Diusik

Dalam pada itu, pindaan menerusi Seksyen 17 pula memberi kuasa penuh kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menolak atau tidak mengeluarkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sekiranya mendapati butiran pengenalan fizikal pada EV tersebut mengalami kerosakan atau disyaki telah diusik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pindaan berkaitan Seksyen 17 pula memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak mengeluarkan lesen kenderaan motor sekiranya butiran pengenalan kenderaan seperti nombor casis atau nombor siri EV didapati rosak, tidak jelas, atau dipercayai telah diusik bagi mengelakkan isu penipuan dan kenderaan klon,” jelas kenyataan itu lagi.

Pelengkap Kepada Inisiatif JPJ ePlate Kerajaan

Langkah penguatkuasaan ketat ini selari dengan pelbagai inisiatif pengurusan EV yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini.

Ini termasuklah pengenalan plat lesen khas kenderaan elektrik atau JPJ ePlate (Rekaan Plat Khas) yang mula dilancarkan pada September 2024 bagi membezakan secara jelas antara kenderaan emisi sifar dengan kenderaan jenis pembakaran dalaman di atas jalan raya.

Langkah terbaharu ini dijangka akan memberi perlindungan lebih rapi kepada pembeli EV serta mengukuhkan integriti sistem pendaftaran kenderaan negara.

Sumber: Harian Metro

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy