NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Saya Pulak Kena Letak Jawatan, Yang Tak Bayar Syarikat, Menteri Yang Kena. Apa Punya Logik Ni? – Anthony Loke

Saya Pulak Kena Letak Jawatan, Yang Tak Bayar Syarikat, Menteri Yang Kena. Apa Punya Logik Ni? – Anthony Loke

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempersoalkan kritikan yang meminta beliau meletakkan jawatan susulan keputusan kerajaan menggantung perkhidmatan pembayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.

Menurut Anthony, tindakan yang diambil Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dibuat berdasarkan isu tunggakan hasil kerajaan serta pematuhan terhadap kewajipan yang ditetapkan dalam perjanjian.

“Yang tak bayar syarikat, yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Putrajaya pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat itu tidak mempunyai kaitan dengan pertimbangan politik atau hubungan mana-mana pihak dengan parti politik.

Anthony menegaskan, perkara utama yang menjadi perhatian kerajaan adalah kewujudan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan mengikut ketetapan.

“Saya pun hairan. Cepat-cepat minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat!” katanya.

Tunggakan Cecah RM314 Juta

Gambar daripada Media Mulia

Sebelum ini, JPJ memaklumkan MyEG dan Zetrix AI digantung berkuat kuasa 5 Oktober selepas kerajaan mengambil kira aspek pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta obligasi yang masih belum diselesaikan.

Jumlah keseluruhan tuntutan terhadap kedua-dua syarikat berkenaan dilaporkan mencecah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.

Jumlah tersebut melibatkan hasil kerajaan yang masih belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan.

Anthony berkata, kerajaan sebelum ini sudah memberikan ruang kepada syarikat terbabit untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Antara tindakan yang telah diambil termasuk mengeluarkan 35 notis peringatan serta mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.

Cek RM231 Juta Tidak Diproses

Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih serius selepas cek berjumlah RM231 juta yang diserahkan oleh syarikat berkenaan tidak diproses oleh pihak bank selepas terdapat arahan daripada syarikat ketika cek tersebut cuba dikreditkan pada 30 September lalu.

Menurut Anthony, perkembangan itu menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain mengambil tindakan penggantungan.

“Jadi kita tak ada pilihan. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan oleh pihak syarikat. Ini tanggungjawab dan obligasi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa MyEG dan Zetrix AI berperanan sebagai ejen pemungut hasil bagi pihak JPJ dan bukannya pemilik kepada wang yang dikutip.

“Mereka hanya adalah ejen pemungut cukai. Ini bukan wang mereka, ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ,” jelasnya.

Perkhidmatan Hanya Dibuka Semula Selepas Tunggakan Selesai

Ditanya mengenai tempoh penggantungan tersebut, Anthony berkata perkhidmatan berkenaan hanya akan dipertimbangkan untuk dibuka semula selepas keseluruhan tunggakan diselesaikan.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan kerajaan mempunyai klausa penamatan kontrak sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipenuhi.

Menurutnya, kerajaan juga tidak perlu membayar pampasan sekiranya kontrak berkenaan ditamatkan.

“Mereka berhutang kita lebih daripada RM300 juta sekarang. Jadi tak ada soal pampasan kepada mereka,” katanya.

Anthony turut menegaskan bahawa latar belakang pengurusan atau pemilikan syarikat bukan faktor yang dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan tersebut.

Sebaliknya, tindakan yang diambil adalah berdasarkan kewajipan kewangan dan pematuhan kontrak yang perlu dipenuhi oleh syarikat terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy