ALOR SETAR: Dakwaan mengenai petrol RON95 yang dipercayai bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan kenderaan mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.
Susulan aduan yang diterima daripada orang ramai, KPDN Kedah menjalankan pemeriksaan di 11 stesen minyak di beberapa daerah bagi mengambil sampel bahan api untuk pemeriksaan dan analisis lanjut.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa kenderaan mereka mengalami masalah selepas mengisi petrol di stesen terbabit.
Menurut beliau, pasukan penguat kuasa KPDN mengambil sampel petrol RON95 daripada tangki atau pam yang terlibat untuk dihantar bagi tujuan analisis.
Pemeriksaan berkenaan membabitkan stesen minyak berjenama Petron dan Caltex di beberapa kawasan termasuk Alor Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Kulim.
BagaimanaDakwaan Petrol RON95 Bercampur Air, KPDN Periksa 11 Stesen Minyak Di Kedah
pun, pemeriksaan awal yang dilakukan KPDN tidak menunjukkan kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa.
Pemeriksaan tersebut dibuat menggunakan kaedah manual dipping selain menyemak bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG).
Muhammad Nizam berkata, pihaknya turut menyemak rekod penerimaan bekalan serta jualan bahan api bagi tempoh berkaitan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Dokumen dan maklumat berkaitan turut diperoleh daripada pengusaha stesen minyak terbabit.
Namun begitu, KPDN menegaskan bahawa hasil pemeriksaan awal itu masih belum boleh dijadikan keputusan muktamad mengenai dakwaan petrol bercampur air.
Menurut Muhammad Nizam, sampel yang diambil KPDN akan dihantar kepada Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.
Pada masa sama, pengusaha stesen minyak berkenaan turut menghantar sampel kepada makmal syarikat minyak masing-masing untuk pemeriksaan.
Keputusan analisis tersebut akan menjadi antara perkara yang akan diteliti KPDN sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, KPDN masih menjalankan siasatan dan tidak akan membuat sebarang kesimpulan bahawa bahan api terbabit telah bercampur air selagi keputusan analisis belum diperoleh.
KPDN akan meneliti keputusan analisis bersama keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
Sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang berkaitan.
Dalam pada itu, pengguna yang mempunyai aduan berkaitan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi EzADU KPDN.
Buat masa ini, pengguna masih perlu menunggu keputusan analisis sampel sebelum dakwaan petrol RON95 bercampur air dapat disahkan atau sebaliknya.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?