Bawang goreng biasanya dianggap sebagai pelengkap hidangan yang mampu menambah aroma, rasa dan tekstur sesuatu makanan. Namun, harga sebekas bawang goreng yang mencecah RM79 baru-baru ini mencuri perhatian ramai selepas perkongsian mengenainya tular di media sosial.
Perkara itu mula menjadi bualan apabila seorang pengguna Threads, @nicholasch.in, berkongsi keterkejutannya melihat produk bawang goreng tempatan dijual pada harga RM79 bagi setiap bekas seberat hanya 300 gram.
Harga tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai. Ada yang mempersoalkan nilai produk berkenaan, malah berpendapat harga bawang goreng yang melebihi RM10 sekalipun sudah dianggap mahal, apatah lagi apabila harganya hampir mencecah RM80 untuk kuantiti yang kecil.

Bagaimanapun, pemilik produk tersebut tampil memberikan penjelasan mengenai faktor yang menyebabkan bawang goreng berkenaan dijual pada harga sedemikian.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @husam_inspires, beliau menjelaskan bahawa produk itu menggunakan bawang ros yang sememangnya mempunyai kos bahan mentah yang tinggi.
Menurutnya, proses menggoreng turut menyebabkan berat bawang berkurangan dengan banyak. Malah, sehingga 90 peratus berat asal boleh hilang selepas proses tersebut, bergantung pada keadaan bawang yang digunakan.
Jelas beliau, bagi menghasilkan satu bekas bawang goreng seberat 300 gram, sebanyak tiga hingga lima kilogram bawang segar diperlukan. Proses penyediaannya merangkumi kerja mengupas, memotong dan menggoreng yang perlu dilakukan dengan pantas.
Beliau turut menjelaskan bahawa keseluruhan proses berkenaan dilakukan secara manual atau handmade, sekali gus memerlukan tenaga kerja dan masa yang bukan sedikit.
Selain kos bahan mentah serta proses penyediaan, pemiliknya mendakwa produk itu dijual tanpa penglibatan orang tengah. Sekiranya terdapat pihak perantara dalam rantaian jualan, harga produk berkenaan berkemungkinan menjadi lebih tinggi.
Untuk makluman, bawang goreng tersebut boleh didapati di beberapa lokasi terpilih, termasuk QRA, BSC, Seibu, TFM di Pavilion, BIG Grocer dan Village Grocer.
Dalam masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang pernah mencuba produk berkenaan dan berpendapat rasanya setimpal dengan harga yang ditawarkan.
Persoalannya, adakah harga RM79 untuk 300 gram bawang goreng dianggap berbaloi apabila mengambil kira jenis bawang, jumlah bahan mentah dan proses penyediaannya? Atau bagi kebanyakan pengguna, bawang goreng tetap sekadar pelengkap makanan yang tidak sepatutnya dijual pada harga sedemikian?
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?