Rolls-Royce Spectre kini telah tiba di Malaysia, hampir setahun selepas coupé elektrik mewah ini diperkenalkan secara global pada Oktober 2022. Spectre adalah model pengeluaran EV pertama daripada jenama mewah British ini, dibina atas platform yang sama dengan Cullinan dan Phantom.
Walaupun platformnya dikongsi dengan model semasa, Seni Bina Mewah yang membentuk Spectre ini telah direka dari awal untuk menampung sistem engin tradisional dan sepenuhnya elektrik pada masa yang sama. Sebenarnya, Rolls-Royce telah membuat kerangka Spectre 30% lebih kukuh daripada mana-mana model Rolls-Royce sebelum ini. Menurut Rolls-Royce, bateri diletakkan di bawah lantai kenderaan dan terdapat satu bahagian aluminium berfungsi sebagai penebat bunyi kepada 700kg bateri tersebut.
Rolls-Royce Spectre adalah model Rolls-Royce pertama di Malaysia yang menggunakan konsep EV dengan harga bermula dari RM2 juta sebelum cukai. Dari segi luaran, Spectre mempunyai panjang 5,475 mm, 2,017 mm lebar dan 1,573 mm tinggi dengan jarak antara roda hadapan dan belakang sebanyak 3,210 mm, yang meletakkan Rolls Royce sebagai kereta EV pertama yang mempunyai saiz yang lebih kurang sama dengan Cullinan dan Phantom. Rim yang digunakan adalah set rim aloi 23 inci, menjadikan Rolls-Royce Spectre sebagai kereta pertama dengan saiz roda sebesar ini.
Kapasiti bateri untuk Spectre ini boleh pergi sejauh 520 km mengikut standard ujian WLTP, untuk menjadi penggerak kepada sistem “All Wheel Drive” kereta ini serta dapat menghasilkan 585 PS dan 900 Nm tork. Jadi, ini akan membuatkan 0-100 km/j coupé elektrik seberat 2,890 kg ini hanya 4.5 saat.
Pengecasan Spectre ini mampu mengecas sehingga 195 kW DC dan tempoh pengecasan 10-80% hanya mengambil masa 34 minit sahaja. Untuk pengecasan 50 kW DC, ia mengambil masa selama 95 minit untuk mengecs 10-80%. Manakala untuk mengecas 0-100% dari pengecas 22 kW di rumah akan mengambil masa selama 5 jam 30 minit.
Kualiti pemanduan adalah ciri utama kepada pembuatan Rolls-Royce ini. Oleh itu, Spectre menggunakan sistem suspensi yang sama dengan Ghost generasi semasa iaitu “Planar Suspension”. Kamera hadapan Spectre ini mampu membaca data permukaan jalan di hadapan dan teknologi “Air Suspension” kereta ini boleh diubah secara automatik mengikut keadaan jalan semasa. kereta ini juga boleh memutuskan sambungan “anti roll bar” ketika di jalan lurus untuk meningkatkan keselesaan pemanduan, dan menyambung semula apabila mengambil selekoh.
Bentuk badan coupé fastback dengan rekaan gril Pantheon adalah yang terlebar pernah dipasang pada Rolls-Royce. Gril hadapan Spectre ini mempunyai panel shutter aktif pada setiap satu gril untuk mengurangkan rintangan udara semasa memecut. Sama seperti Ghost, gril hadapan pada Spectre ini juga mendapat 22 lampu LED.
Pada bahagian hadapan, susunan lampu dua tingkat yang meletakkan lampu “DRL” pada bahagian atas, dengan lampu utama pada bahagian bawahnya untuk menampakkan lagi kemewahan kereta ini. Patung “Spirit of Ecstasy” yang ikonik telah direka semula selama 830 jam untuk tujuan aerodinamik dan mampu mengurangkan rintangan angin sebanyak 0.25%, sekaligus yang terendah daripada mana-mana model Rolls-Royce sebelum ini.
Di Malaysia, harga Rolls-Royce Spectre bermula dari RM2 juta tidak termasuk cukai dan pilihan aksesori tambahan. Menurut Rolls-Royce, tempahan untuk Spectre ini dilanjutkan sehingga 2024.