Isuzu Malaysia telah melancarkan trak baru Isuzu FVR Smoother (FVR34UU-SDN) secara rasmi hari ini iaitu pacuan 4×2, standard pelepasan Euro 5 dengan AMT 6-kelajuan (transmisi manual automatik).
Selain menawarkan pilihan teknologi transmisi manual automatik dalam julat tugas sederhana, trak baharu ini juga didatangkan dengan AMT Smoother Isuzu.
Selain daripada pelancaran FVR Euro 5 Smoother AMT, Isuzu turut mengumumkan bahawa siri tugas ringan ELF akan menawarkan rangkaian trak standard pelepasan Euro 4 kepada pelanggan mulai hari ini.
Melalui AMT Smoother Isuzu, kecekapan pemanduan dapat dipertingkatkan dengan ketara. Transmisi ini dikawal secara automatik oleh pengiraan elektronik dan seterusnya dibantu oleh sistem hidraulik penukar tork yang mengendalikan klac dan pendikit untuk memadankan putaran penukaran gear diperlukan.
Dikuasakan oleh enjin 6-silinder 6HK1-TCN dan kapasiti GW 19 tan, ia membolehkan pengendali trak untuk memaksimumkan muatan barang yang boleh diangkut dalam setiap perjalanan sekaligus dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka.
Untuk menampung kapasiti yang unggul untuk penghantaran pukal, trak ini dilengkapi dengan kapasiti gandar hadapan iaitu pada 7,500 kg dan kapasiti gandar belakang pada 13,000 kg.
Selain dapat meningkatkan kecekapan pemanduan, AMT Smoother Isuzu juga berfungsi untuk menyesuaikan trak baharu ini menjadi pengangkutan di dalam bandar.
Kedua-dua siri FVR Euro 5 Smoother AMT dan ELF Euro 4 dilengkapi dengan platform Isuzu Safety Plus, termasuk ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif.
Antaranya ialah Anti-lock Braking System (ABS), Supplemental Restraint System (SRS) Airbag untuk pemandu serta fungsi Hill Start Aid untuk FVR Smoother manakala Sistem Brek Antikunci (ABS), Beg Udara Sistem Penahan Tambahan (SRS) untuk pemandu, Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Pengawal Selia Anti-gelincir (ASR) untuk Siri Elf.
Selain itu, amaran kecondongan kabin, lampu utama LED, port USB dan penguncian tengah dengan kemasukan tanpa kunci jauh dan immobilizer juga ada sebagai keselamatan tambahan.
Isuzu Malaysia juga akan menganjurkan Program Isuzu Smoother Drive 2024 dari 11 hingga 29 Mac di seluruh Isuzu Dealership di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut tentang rangkaian kenderaan Isuzu, sila hubungi 1-300-88-1133 atau pergi ke laman web www.isuzu.net.my.