Smart Malaysia telah mengumumkan penghantaran bagi model smart #1 Pro telah bermula, di mana ia merupakan varian paling rendah bagi kenderaan elektrik (EV) yang telah dilancarkan pada November 2023 lalu.
‘’Kami teruja untuk memenuhi jangkaan pemandu bandar, yang mengutamakan ciri-ciri praktikal seperti ruang dan jarak 315 km, yang lebih daripada mencukupi. smart #1 Pro merangkumi pilihan penduduk bandar yang peka terhadap alam sekitar, menawarkan kualiti premium dan reka bentuk kenderaan elektrik yang estetik,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.
“Di smart Malaysia, keperluan pengguna adalah keutamaan dalam proses membuat keputusan. Varian Pro ditawarkan untuk memenuhi pelbagai keperluan pemandu moden, menawarkan nilai yang luar biasa,’’ tambah beliau.
Dengan harga jualan bermula dari RM189,000 (on-the-road tanpa insurans), Pro adalah RM30,000 dan RM60,000 kurang berbanding dengan varian Premium dan Brabus masing-masing. Untuk harga paling murah, Pro didatangkan dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) yang mampu mencapai jarak sehingga 315 km dalam kitaran WLTP.
Dengan kuasa 268 Hp dan 343 Nm tork, varian Pro ini didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal dan mampu mencapai angka yang sama dengan varian Premium. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini dari 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan kelajuan maksimum adalah sebanyak 180 km/j.
Dengan kuasa pengecasan 130kW DC, ia boleh dicas sepenuhnya dalam masa kurang daripada 30 minit di bawah keadaan optimum. Keselesaan dipertingkatkan dengan kawalan penyaman udara 2 zon automatik dan kerusi elektrik dengan sistem pengudaraan untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Smart #1 Pro ini ditawarkan dengan sejumlah 5 warna iaitu Future Green, Quantum Blue, Digital White, Cyber Silver dan Laser Red dengan interior dalaman yang cuma hadir dengan satu pilihan warna iaitu After Dark.
Dengan setiap pembelian, Smart Malaysia menawarkan jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun atau 200,000km, jaminan komponen bervoltan tinggi selama 8 tahun atau 150,000km, jaminan kenderaan selama 4 tahun tanpa had perjalanan, jaminan alat ganti selama 2 tahun tanpa had perjalanan dan bantuan perkhidmatan jalanan 24 jam.