Malaysia Airlines telah memeterai perkongsian strategik dengan kelab bola sepak Manchester United (Man Utd) sebagai Syarikat Penerbangan Komersial Rasmi dengan memanfaatkan lebih dari 1.1 bilion peminat dan pengikutnya di seluruh dunia.
Menurut Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail, penyatuan dua ikon global di antara Malaysia Airlines dan Manchester United ini bakal mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam kalangan peminat dan pelanggannya.
“Berada seiring dengan kelab yang diiktiraf di peringkat global seperti United meletakkan Malaysia Airlines di hadapan audiens yang ramai di seluruh dunia, mendorong pengiktirafan jenama, terutama di Eropah dan Asia Tenggara yang mempunyai banyak peminat United,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Difahamkan Manchester United juga sudah lama menjalin hubungan yang baik dengan Malaysia, dengan sokongan yang penuh bersemangat dari seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliances and Partnerships Manchester United, Victoria Timpson.
“Kami mempunyai tiga kelab penyokong rasmi Malaysia, dengan cawangan di Kuala Lumpur mempunyai antara komuniti penyokong terbesar kelab itu, mencerminkan minat negara terhadap United,” katanya.
Tambah beliau, mereka amat berbesar hati untuk menyambut baik kehadiran MAS sebagai keluarga rakan kongsinya yang dipercayai mesra dan suka menerima tetamu.
Melalui perkongsian ini, ia telah menjadi satu dorongan dalam mencapai Aspirasi Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG, melebihi had perkongsian syarikat penerbangan tradisional, ulas Izham.
“Kerjasama strategik ini berperanan sebagai laluan untuk kami ke peringkat global, membolehkan kami meluaskan kehadiran kepada pelbagai audiens di seluruh dunia,” katanya.
Sumber : Sinar Harian