Neta Auto Malaysia telah melancarkan sebuah SUV segmen-B kenderaan elektrik (EV) terbaru mereka iaitu Neta X ke dalam pasaran Malaysia dan mengumumkan harga rasmi di Menara Affin, TRX Exhange. Tiga varian telah ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu 400 Comfort yang harga bermula dari RM119,888, 400 Luxury pada RM127,888 dan 500 Luxury pada RM135,888.
Model ini berukuran 4,619 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,628 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,770 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 508 liter dan meningkat hingga 1,388 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan. Neta X ini dikuasakan oleh sistem bateri CATL jenis lithium iron phosphate (LFP).
Untuk jarak sejauh 401 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 51.8 kWh bagi varian 400 manakala varian 500 dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 62 kWh untuk jarak sejauh 480 km dengan sekali pengecasan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 9.5 saat sahaja manakala kelajuan maksimumnya adalah 150 km/j.
Bagi pengecasannya, model ini boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 6.6 kW dengan status pengecasan 30% hingga 80% mengambil masa 9 jam pengecasan (51.8 kWh) dan 11 jam pengecasan (62 kWh). Namun jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 65 kW, ia boleh mencapai status pengecasan pada tahap yang sama dalam masa 30 minit.
Memasuki ruang dalam, SUV EV ini didatangkan dengan skrin bersaiz 15.6 inci dengan resolusi tinggi untuk sistem tunjuk arah, penstriman muzik dan sambungan telefon pintar. Selain itu, ciri bantuan suara, kawalan kenderaan jarak jauh, tinjauan status masa nyata, bumbung panoramik dan pengecasan telefon tanpa wayar turut lengkap pada model ini.
Bagi sistem keselamatan pula, hanya varian 400 Luxury dan 500 Luxury yang menerima Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong, ACC kelajuan penuh, bantuan mengekalkan lorong, bantuan melayar pintar, pengesanan papan tanda trafik, bantuan lampu tinggi, sistem kecemasan pengekalan lorong, amaran lintasan trafik di belakang, bantuan lampu tinggi, pengesanan papan tanda trafik dan sistem pengekalan lorong kecemasan.
Neta X bakal ditawarkan dengan 5 pilihan warna luaran iaitu Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue dan Amber Brown, dengan dua pilihan warna dalaman iaitu coklat dan hitam.
Bagi pelanggan yang menempah sebelum 31 Julai, Neta akan memberikan wallbox atau kredit pengecasan ChargEV 2,500 kWh sebanyak RM2,000 iaitu dua kali nilai tempahan dan pakej penyelenggaraan dua-tahun/40,000 km secara percuma. Waranti standard lima-tahun/100,000 km untuk kereta dan jaminan lapan-tahun/180,000 km untuk bateri turut diberikan.