Honda Malaysia telah mencatatkan hasil jualan sebanyak 39,226 unit pada separuh pertama 2024, peningkatan sebanyak 16% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Penyumbang terbesar jualan datang daripada HR-V iaitu sebanyak 28%, diikuti dengan City iaitu sebanyak 24%. Ia seterusnya disambung oleh CR-V dengan 15% dan varian e:HEV sebanyak 13% pada separuh pertama 2024.
Selain itu, Honda Malaysia turut melakar sejarah apabila mereka berjaya menyerahkan Civic yang ke-170,000 dan HR-V yang ke-150,000 kepada pemiliknya.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelanggan atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap jenama Honda. Model-model Honda terus mendapat populariti dan permintaan yang semakin meningkat berkat sokongan pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Hironobu Yoshimura.
Sebuah model ikonik di dalam Honda, Civic kini sudah berada dalam generasi ke-11 dan berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan segmen-C bukan nasional paling laris selama 8 tahun berturut-turut dari tahun 2016.
HR-V pula berjaya mendapat tempat di dalam hati rakyat Malaysia selepas dilancarkan buat pertama kali pada 9 tahun lepas dalam segmen SUV kompak.
Kedua-dua model tersebut diserahkan kepada pemilik masing-masing di mana Civic tersebut merupakan varian 2.0L e:HEV RS manakala HR-V tersebut merupakan varian 1.5L e:HEV RS.
Kedua-dua pemilik tersebut telah menerima hadiah eksklusif dan aksesori tulen Honda bernilai RM10,000 sebagai tanda penghargaan dari Honda Malaysia.