Central Auto Distributors Bhd (CADB) telah memperkenalkan sebuah hatchback elektrik (EV) mereka iaitu Dongfeng Box ke dalam pasaran Malaysia di ruang pameran pertama mereka yang bertempat di PEKEMA, Cyberjaya. Dua varian akan ditawarkan ke dalam pasaran Malaysia iaitu E2 dan E3.
Dikenali sebagai Dongfeng Nammi 01 di China, ia bakal diimport sepenuhnya (CBU) dari China untuk permulaan dan akan ditawarkan dalam versi tempatan (CKD) selepas kilang pemasangan New Energy Vehicles (NEV) di Chembong, Rembau bersedia.
Model ini berukuran 4,020 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,663 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 326 liter dan meningkat hingga 945 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan. Dongfeng Box ini dikuasakan oleh sistem bateri CATL jenis lithium iron phosphate (LFP).
Kedua-dua varian didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 94 Hp dan 160 Nm tork. Untuk jarak sejauh 330 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 31.45 kWh bagi varian E2 manakala varian E3 dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 42.3 kWh untuk jarak sejauh 430 km dengan sekali pengecasan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 10.6 saat sahaja manakala kelajuan maksimumnya adalah 140 km/j.
Bagi pengecasannya, model ini boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti 60 kW dan boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.
Dari segi penampilan, Box menampilkan garisan badan yang aerodinamik dan licin, dengan bahagian depan yang dilengkapi lampu LED melintang. Selain itu, rekaan pintu tanpa bingkai dan pemegang pintu sensor tersembunyi juga menyerlahkan lagi penampilannya yang canggih dan moden.
Memasuki ruang dalam, Box hadir dengan skrin infotainment terapung bersaiz 12.8 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Ruang kabin dilengkapi dengan lapisan kulit berlian berkualiti tinggi, memberikan suasana yang mewah dan selesa serta meningkatkan daya tarikan visual. Selain itu, ambient lighting dengan 32 pilihan warna, serta cermin pandang belakang tanpa bingkai dan pengecasan telefon tanpa wayar turut lengkap pada model ini.
Bagi sistem keselamatan pula, Box dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) L2 dan mempunyai ciri parkir automatik, Adaptive Cruise Control (ACC), 540 darjah pemandangan panorama dan lain-lain lagi.
Dongfeng Box bakal ditawarkan dengan 3 pilihan warna luaran iaitu Putih, Hijau dan Biru, dengan dua pilihan warna dalaman iaitu putih dan hitam atau kelabu dan hitam. Istimewa untuk warna Hijau, Biru dan Ungu hadir dengan pilihan warna putih untuk bumbung.
Masih tiada petunjuk akan harga rasmi Dongfeng Box ini namun pelancaran rasminya dijangka akan dilakukan pada bulan Oktober ini. Adakah anda berminat?