Cuti Mingguan Johor Ditukar Semula Kepada Sabtu-Ahad Mulai Tahun 2025

Berita mengenai perubahan cuti hujung minggu di Johor yang akan kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025, telah mendapat sambutan baik daripada kalangan rakyat, menurut laporan Berita Harian.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam satu kenyataan di Facebook, menyatakan bahawa baginda telah mengarahkan perkara tersebut untuk dibincangkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Arahan tersebut turut mendapat restu daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim, dan persetujuan daripada Yang Di-Pertuan Agong serta pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Setelah mendapat perkenan dan nasihat daripada pihak-pihak yang berkaitan, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan diubah kepada Sabtu dan Ahad,” titah Tunku Mahkota.

Keputusan ini disambut baik oleh rakyat Johor kerana ia bukan sahaja memudahkan mereka supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga malah, cuti mingguan ini dapat diselaraskan dengan kebanyakan syarikat swasta. Banyak keluarga di Johor kini dapat merancang aktiviti bersama yang lebih fleksibel seperti majlis perkahwinan dan acara keluarga. Ianya kini tidak lagi terhad kepada hari Sabtu sahaja, memberikan lebih keselesaan kepada orang ramai.

Baginda juga menitahkan Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor agar mengkaji perkara ini secara menyeluruh, meliputi pelbagai aspek penting. Di samping itu, baginda turut menyeru semua pihak, termasuk syarikat swasta dan agensi kerajaan, supaya memberi ruang secukupnya untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat dengan selesa dan tepat pada waktunya.

Perubahan cuti hujung minggu ini sebenarnya mengulangi keputusan pada tahun 2014, apabila Sultan Ibrahim mengarahkan cuti hujung minggu ditukar kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan terhadap hari Jumaat yang dianggap sebagai penghulu segala hari dalam Islam. Namun, perubahan pada 2025 dijangka memberi manfaat lebih besar kepada rakyat Johor yang kini dapat menikmati waktu rehat yang lebih selari dengan jadual cuti kebangsaan.

Sebelum perubahan pada 2014, cuti Sabtu dan Ahad telah dilaksanakan di Johor sejak tahun 1994, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD