Seorang doktor dan anak lelakinya cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah SUV yang dipandu oleh seorang remaja lelaki di Bulatan Jalan Persiaran Seri Impian, Kluang, Johor pada petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kemalangan yang berlaku sekitar jam 4.10 petang itu melibatkan seorang warga Indonesia, Agung Nugroho Darmawan, 40, bersama anaknya, Said Hassan, 4 tahun, yang menaiki Perodua Bezza.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian SUV datang dari Bandar Kluang menghala ke Taman Seri Impian.
“Ketika sampai di tempat kejadian, SUV itu memasuki bulatan dan tiba-tiba Perodua Bezza pula keluar dari simpang sebelah kiri dan dilanggar oleh SUV itu,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, pemandu SUV merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang mempunyai lesen memandu sah.
“Agung Nugroho Darmawan cedera di kepala, patah tulang rusuk dan bahagian dalaman badan manakala anaknya, Said Hassan cedera parah di kepala.
“Agung Nugroho kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, manakala anaknya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Nurul Azroy Mohamad Yusof, turut berkongsi operasi menyelamatkan mangsa yang tersepit melibatkan seramai 7 orang anggota dan sebuah jentera FRT dan EMRS.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dan tidak sedarkan diri serta memberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
“Anaknya juga ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam,” katanya.