Seorang remaja berusia 18 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon di dalam bas ekspres di Penang pada 1 November 2024, mengikut laporan Bernama. Susulan kejadian ini, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk segera menggantung operasi bas tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut memaklumkan bahawa satu pasukan khas melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SPAD, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian insiden ini.
Melalui kenyataan di laman Facebook rasmi beliau, Loke berkata, “Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja ketika mengecas telefon dalam bas ekspres ini. Tambahan beliau, “Pasukan khas ini akan menyiasat punca kejadian untuk mengelakkan perkara sama berulang lagi serta memastikan keselamatan penumpang terjamin. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.”
Menurut laporan, remaja tersebut ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 6.10 petang oleh pihak polis daerah Seberang Perai Utara, dengan kesan lecur pada jari kirinya. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah renjatan elektrik. Pihak berkuasa juga mendapati kabel pengecas yang digunakan oleh mangsa telah cair di bahagian hujung dan telefon tersebut berada dalam keadaan panas.
Kejadian ini mencetuskan persoalan mengenai keselamatan penumpang, terutamanya berkaitan pemasangan soket elektrik di dalam bas awam.