Bermula 1 Julai 2025, semua kenderaan yang dikuasakan oleh gas asli mampat (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftarkan atau digunakan di atas jalan raya atas faktor keselamatan. Selain itu, Petronas juga akan menghentikan bekalan runcit NGV secara berperingkat sebelum penamatan sepenuhnya pada tarikh yang sama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan keputusan ini dibuat berdasarkan isu keselamatan pengguna, khususnya pemilik kenderaan NGV. “Rekod menunjukkan tempoh puncak pemasangan kit NGV berlaku antara tahun 1995 hingga 2014. Ini bermakna kebanyakan kenderaan tersebut kini berada dalam fasa akhir hayat tangki NGV mereka dan perlu digantikan,” katanya dalam satu kenyataan semasa Sesi Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV hari ini.
Menurut Anthony, tangki NGV hanya selamat digunakan dalam tempoh 15 tahun. Jika tidak digantikan, tangki ini berpotensi gagal berfungsi dan boleh menyebabkan kecederaan, kematian, atau kerosakan harta benda.
Lebih membimbangkan, terdapat pemilik kenderaan yang mengubahsuai sistem NGV dengan menggunakan silinder gas memasak (LPG). Perbezaan tekanan yang besar antara tangki NGV (220 bar/3,200 psi) dan silinder LPG (7 bar/100 psi) menjadikan pengubahsuaian ini sangat berbahaya. “Kita telah menyaksikan insiden letupan akibat penggunaan silinder LPG yang tidak sesuai sebelum ini,” tambahnya.
Anthony turut menyatakan bahawa penggantian tangki NGV dengan komponen asli memerlukan kos yang tinggi, mencecah lebih RM7,000 setiap kenderaan. Tambahan pula, alat ganti tulen seperti tangki NGV sukar didapati di pasaran tempatan. Sumber Harian Metro.
Sebilangan pengguna juga menggunakan tangki terpakai atau melakukan pengubahsuaian tidak diiktiraf, yang meningkatkan risiko kemalangan. “Keadaan ini bukan sahaja membahayakan pengguna kenderaan terbabit tetapi juga pengguna jalan raya lain,” katanya.
Keputusan ini diharapkan dapat meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia dan mengurangkan risiko insiden yang berpunca daripada kegagalan tangki NGV.