NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Polis Perketat Pemantauan Premis Barang Lusuh, Lokasi Panas Curi Kabel Jadi Tumpuan

Polis Perketat Pemantauan Premis Barang Lusuh, Lokasi Panas Curi Kabel Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR – Polis akan mempergiatkan usaha pencegahan jenayah kecurian kabel dengan memberi perhatian khusus kepada kawasan yang sering menjadi sasaran penjenayah serta premis barangan lusuh yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, tindakan bersepadu itu dilaksanakan di peringkat kontinjen dan daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat utiliti serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Menurutnya, pemeriksaan terhadap premis barangan lusuh turut dilakukan bersama agensi berkaitan bagi memastikan setiap perniagaan mempunyai lesen sah dan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dalam pemeriksaan tersebut, pihak polis akan meneliti rekod urus niaga serta menyemak sumber dan asal usul kabel yang disyaki diperoleh daripada aktiviti jenayah. Syarikat utiliti pula membantu mengenal pasti kabel yang menjadi milik atau berada di bawah seliaan mereka.

Beliau berkata, maklumat daripada laporan polis dan aduan syarikat utiliti turut digunakan bagi menentukan lokasi yang memerlukan pemantauan lebih kerap.

Susulan itu, rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) akan diberi tumpuan di kawasan yang mencatatkan kejadian kecurian kabel berulang.

Sekiranya pemeriksaan menemukan sebarang unsur jenayah, perkara berkenaan akan diserahkan kepada JSJ untuk tindakan lanjut. Sementara itu, kesalahan melibatkan pelanggaran syarat lesen perniagaan akan dirujuk kepada PBT.

Keberkesanan operasi pencegahan pula dinilai berdasarkan jumlah premis yang diperiksa, tindakan susulan yang diambil serta perubahan kadar kejadian berulang di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas.

Dalam pada itu, Noor Hisam menegaskan syarikat utiliti turut mempunyai tanggungjawab besar dalam mengurangkan risiko kecurian kabel, khususnya melibatkan aset dan kemudahan di bawah pengurusan masing-masing.

Antara langkah yang perlu diberi perhatian termasuk mengenal pasti lokasi berisiko tinggi, memastikan sistem kawalan fizikal berada dalam keadaan baik serta melakukan pembaikan segera terhadap kerosakan yang boleh membuka peluang kepada pencerobohan.

Pemeriksaan berkala dan pemantauan lebih rapi juga perlu dilaksanakan, terutama di kawasan yang kerap menjadi sasaran atau melibatkan kemudahan perkhidmatan kritikal.

Sekiranya terdapat petunjuk kegiatan mencuri kabel, syarikat utiliti diminta segera membuat laporan kepada polis dengan menyertakan maklumat lokasi, rekod kerja kontraktor serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya tersedia.

Pada masa sama, orang ramai turut digalakkan memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis menerusi talian kecemasan 999.

Bagaimanapun, orang awam dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko dengan menghampiri atau mengejar individu yang disyaki terlibat. Sebaliknya, sebarang rakaman telefon bimbit atau CCTV boleh diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu proses pengesanan suspek.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan gesaan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin supaya tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terlibat dalam urusan menjual dan membeli kabel curi.

Isu berkenaan kembali mendapat perhatian susulan satu kejadian kecurian kabel yang tular di TREC, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, apabila sekumpulan individu dilaporkan melakukan kegiatan tersebut pada waktu siang dengan menggunakan dua buah kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus sebelum ini mengesahkan pihaknya sedang giat mengesan dan memburu kesemua individu yang terlibat untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy