NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton Satria Hilang Kawalan, Rempuh Rumah Hingga Beranda Dan Bumbung Roboh

Proton Satria Hilang Kawalan, Rempuh Rumah Hingga Beranda Dan Bumbung Roboh

JASIN – Sebuah rumah di Jalan Kampung Tehel Hulu, Jasin mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah Proton Satria yang dipercayai hilang kawalan dalam satu kemalangan pada pagi Ahad.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7.20 pagi itu menyebabkan sebahagian struktur rumah berkenaan, termasuk beranda serta bumbung di bahagian hadapan dan sisi, roboh akibat impak pelanggaran.

Lebih mengejutkan, Proton Satria berkenaan turut merempuh sebuah Perodua Myvi yang sedang diparkir di hadapan rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berusia 23 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Jasin menuju ke Melaka.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar rumah dan Perodua Myvi yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Akibat kejadian itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan pada bahagian tengkuk dan pinggang serta beberapa kesan calar pada badan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Lee Robert, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu mengawal kenderaan. Bagaimanapun, pemandu terbabit tidak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

Pihak polis turut memaklumkan bahawa tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) diperoleh setakat ini bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

Sumber: Sinar Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy