Tidak Sedar Lesen Memandu Tamat Tempoh dan Sibuk Antara Alasan Yang Diberikan Pemandu Lori

Tidak sedar lesen memandu telah tamat tempoh dan banyak kerja antara alasan yang diberikan oleh pemandu lori yang ditahan dalam Ops Kenderaan Berat Bersepadu di Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan.

Tidak cuma itu, ada juga pemandu lori yang ditahan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan memberikan alasan terlupa ketika ditahan.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, operasi bermula pada jam 8 malam Jumaat lalu dan telah disertai oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

“Operasi dijalankan secara statik itu melibatkan pemeriksaan sebanyak 65 buah kenderaan terdiri daripada kenderaan berat, kereta serta motosikal.

“Sejumlah 57 notis saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan antaranya tiada lesen memandu serta cukai jalan, lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan teknikal,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, operasi ini dilakukan di lokasi yang kerap terjadinya kemalangan sebelum ini.

“Jumlah saman paling tinggi dikeluarkan melibatkan kesalahan antaranya berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Terdapat juga pengguna didapati pada awalnya tidak mahu memberikan kerjasama ketika ditahan namun dengan kecekapan anggota JPJ bertugas, ia dapat ditangani dengan lancar,” katanya.

Operasi ini dilaksanakan untuk memberi perhatian dan untuk memantau semua jenis kenderaan secara berterusan.

“JPJ Selangor menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan ke atas kenderaan perdagangan dari masa ke masa.

“Pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD