NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kebakaran Putra Heights: JPJ Keluarkan 163 Dokumen Kenderaan Gantian secara Percuma kepada Mangsa

Kebakaran Putra Heights: JPJ Keluarkan 163 Dokumen Kenderaan Gantian secara Percuma kepada Mangsa

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 163 dokumen kenderaan gantian secara percuma kepada mangsa letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedly Fadly Ramli, berkata dokumen-dokumen ini dikeluarkan melalui Kaunter Bergerak JPJ di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights dari Khamis hingga semalam (3 hingga 6 April).

Menurut laporan Bernama, dokumen tersebut termasuk 114 Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), 28 Lesen Memandu Kompeten (CDL), 17 Lesen Kenderaan Motor (LKM), dan 4 Lesen Memandu Barangan (GDL).

Selain penggantian dokumen, JPJ juga menerima 19 permohonan pembaharuan CDL dan memberikan nasihat berkenaan insurans kenderaan kepada 58 mangsa.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif kaunter bergerak ini diwujudkan untuk memudahkan urusan mangsa menggantikan dokumen yang hilang atau rosak tanpa perlu membuat laporan polis.

Kebakaran berlaku di paip gas milik Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa lalu. Api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadam sepenuhnya.

Sebanyak 219 rumah disahkan mengalami kerosakan akibat kejadian itu, manakala 220 rumah lagi dilaporkan selamat dan tidak terjejas.

Menurut Kementerian Kesihatan, 38 daripada 146 mangsa masih menerima rawatan di mana 18 di hospital kerajaan dan 20 di fasiliti kesihatan swasta. Tiada mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy