Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan, maut ditembak polis dalam insiden berbalas tembakan awal pagi Isnin.
Menurut Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi di Jalan Bayu Tinggi, Bandar Bukit Tinggi, Klang.
Suspek dipercayai menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Avenue Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis lalu, sekitar jam 5.45 petang, dan telah meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.
“Pihak keluarga sempat membayar sebanyak RM280,000 serta menyerahkan beberapa barangan kemas kepada suspek,” jelas Datuk Fadil.
Mangsa akhirnya dibebaskan pada malam Jumaat, kira-kira jam 8.30 malam, di kawasan Nusari Bayu Sendayan, Seremban 2.
Pihak polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan kenderaan yang dinaiki suspek, sebuah Proton Wira, di Klang pada awal pagi Isnin. Bagaimanapun, ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis dan cuba melarikan diri.

“Berikutan itu, berlaku kejadian kejar-mengejar sebelum suspek berjaya dipintas. Dalam insiden berbalas tembakan yang berlaku, suspek akhirnya ditembak mati,” katanya.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol semi automatik jenis Colt serta sebilah parang di dalam kenderaan suspek. Pihak berkuasa turut mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Susulan daripada kejadian itu, polis menahan enam individu lain iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun di sekitar Jalan Tiara Sendayan, Negeri Sembilan, bagi membantu siasatan.
Tambah Datuk Fadil, sebanyak RM230,000 wang tebusan berjaya dirampas semula, manakala rampasan lain sedang dalam proses semakan.
Sumber : Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?