NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

PERODUA Diramal Terus Dominasi Pasaran Automotif Tempatan

PERODUA Diramal Terus Dominasi Pasaran Automotif Tempatan

Syarikat automotif Kedua Sdn Bhd (PERODUA) diramal terus mengukuhkan penguasaan dalam industri automotif negara pada tahun 2025, didorong oleh sentimen pembelian yang positif hasil daripada penangguhan pelaksanaan peraturan cukai kenderaan baharu sehingga penghujung 2025.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), PERODUA dijangka menguasai sehingga 44 peratus bahagian pasaran industri, disokong oleh kadar penghasilan tempatan yang tinggi. Ini juga berpotensi membawa kepada kenaikan harga kenderaan pemasangan tempatan sebanyak antara 10 hingga 30 peratus.

“PERODUA bakal menikmati manfaat tambahan daripada beberapa pelancaran model baru yang menarik termasuk Perodua hibrid, Perodua kenderaan elektrik (EV), serta generasi baharu Perodua Myvi. Selain itu, faktor-faktor seperti peningkatan pendapatan isi rumah, kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024, gaji minimum lebih tinggi bermula Februari 2025 serta keadaan pasaran buruh yang stabil turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan PERODUA,” jelas Kenanga IB dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Namun begitu, Kenanga IB turut mengingatkan bahawa situasi berbeza mungkin dialami oleh segmen kenderaan premium. Kumpulan sasaran seperti M40 dan T15 dijangka lebih cenderung memilih kenderaan bersaiz lebih kecil atau beralih kepada model hibrid dan EV, berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api yang menyebabkan bil bahan api meningkat.

“Selain itu, isi rumah turut berdepan tekanan daripada kenaikan kos bahan api dan tarif elektrik asas sebanyak 14 peratus untuk penggunaan lebih tinggi. Keadaan ini dijangka mendorong lebih ramai pengguna beralih kepada penggunaan panel solar dan meningkatkan minat terhadap EV, memandangkan lebihan elektrik daripada grid boleh digunakan secara percuma.

“Tambahan pula, EV menawarkan kos penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman kerana komponen haus dan lusuh yang lebih sedikit,” tambah Kenanga IB.

Dalam pada itu, Kenanga IB mengekalkan penarafan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor automotif, dengan MBM Resources dan Hong Leong Industries masing-masing diberikan saranan ‘prestasi tinggi’. MBM Resources disasarkan pada harga RM6.90, manakala Hong Leong Industries disasarkan pada harga RM15.90, menjadikan kedua-dua saham ini pilihan utama dalam sektor berkenaan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD