NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pakar Seru Pemakaian Tali Pinggang Keledar Dalam Bas Diwajibkan

Pakar Seru Pemakaian Tali Pinggang Keledar Dalam Bas Diwajibkan

Tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi Isnin telah membangkitkan semula persoalan mengenai kelemahan penguatkuasaan undang-undang serta sikap sambil lewa sesetengah pengendali pengangkutan awam terhadap aspek keselamatan penumpang.

Dalam insiden tersebut, beberapa mangsa, termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan, memberi peringatan keras bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi.

Walaupun siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan, pakar keselamatan menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan kewajipan penggunaan tali pinggang keledar dalam bas.

Menurut pakar, masih banyak bas yang belum dilengkapi dengan tali pinggang keledar di setiap tempat duduk penumpang. “Apabila berlaku kemalangan, penumpang mudah tercampak keluar akibat tidak memakai tali pinggang. Ini menunjukkan kelalaian serius pihak pengusaha bas dalam memastikan keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia, Md Hairolazaman Muhamed Nor, turut menggesa pemantauan ketat terhadap pemasangan tali pinggang keledar di semua jenis bas. Beliau berkata, tindakan sedemikian akan mendorong lebih ramai pengusaha mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Latihan Keselamatan Kod Amalan Industri (ICOP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tambahnya lagi, pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan kamera dalam bas juga boleh membantu memastikan penumpang sentiasa mengenakan tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Law Teik Hua, menekankan bahawa sudah tiba masanya pengusaha bas tidak lagi memandang ringan keperluan tali pinggang keledar di setiap tempat duduk.

“Setiap kerusi dalam bas wajib dilengkapi tali pinggang keselamatan. Langkah tambahan seperti pemasangan sistem penggera yang berbunyi jika tali pinggang tidak dipakai boleh menjadi peringatan berkesan kepada penumpang dan pemandu untuk mematuhi peraturan,” ujarnya.

Tragedi tersebut berlaku antara jam 12.30 hingga 1 pagi, apabila sebuah bas sewa khas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih ke Tanjung Malim terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna, menyebabkan bas terbalik dan mengorbankan 15 nyawa. Seramai 33 mangsa lain turut cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

SUMBER : SinarHarian

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy