Nahas Anggota FRU: Tiada Elemen Keselamatan Seperti Tali Pinggang Keledar di dalam Trak FRU

Nahas Anggota FRU: Tiada Elemen Keselamatan Seperti Tali Pinggang Keledar di dalam Trak FRU

Pemeriksaan fizikal ke atas bahagian dalaman kabin belakang Lori FRU mendapati tempat duduk jenis bangku (bench seat) yang dipasang tidak dilengkapi dengan sistem kekangan (restraint system) seperti tali pinggang keledar.

Menurut laporan awal nahas yang telah diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan hari ini, ketiadaan elemen keselamatan pasif ini dipercayai telah meningkatkan risiko kecederaan serius terhadap penumpang yang duduk di bahagian tersebut semasa pelanggaran berlaku.

Berdasarkan maklumat siasatan, semasa impak berlaku, sebahagian besar penumpang dipercayai telah tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke arah sisi hadapan kiri kabin.

“Keadaan ini mengakibatkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, yang menyumbang kepada tahap kecederaan yang parah dalam kalangan penumpang.

“Mekanisma kecederaan ini turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat di dalam kabin, yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran.

“Gabungan antara ketiadaan sistem kekangan dan kewujudan objek tidak diikat ini dipercayai menjadi faktor penyumbang utama kepada kadar kecederaan parah dan kematian yang tinggi dalam insiden ini,” katanya.

Selain itu, siasatan turut mendapati bahawa tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan Lori FRU. Ketiadaan kemudahan tali pinggang keledar ini merupakan risiko keselamatan yang ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan.

Media sebelum ini melaporkan kemalangan tragis itu berlaku pada pagi 13 Mei di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, apabila treler yang sarat dengan batu kerikil melanggar trak FRU, menyebabkan sembilan anggota terbunuh.

Mangsa yang terkorban ialah: S. Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit A.K. Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD