Tersilap Tekan Minyak, Toyota Camry Terjunam Dari Tingkat Tiga

Seorang pekerja pencuci kereta warga Afghanistan cedera parah selepas kereta yang dipandunya terjunam dari tingkat tiga kawasan parkir di Bangunan OUG Park Lane, Jalan Klang Lama.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kejadian berlaku sekitar jam 5.38 petang ketika mangsa berusia 23 tahun sedang memandu sebuah Toyota Camry milik pelanggan untuk diparkir selepas dicuci.

“Siasatan awal mendapati mangsa tersilap menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan, melanggar pagar besi dan terjunam ke bawah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenderaan tersebut turut menghempap dua buah kereta lain, iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diletakkan di tingkat bawah. Tiada pemilik berada dalam kedua-dua kenderaan terbabit semasa kejadian.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER :  KOSMO! ONLINE

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD