Pihak berkuasa di United Kingdom kini giat menggesa kerajaan agar memperketatkan undang-undang keselamatan susulan peningkatan ketara insiden kebakaran melibatkan basikal elektrik (e-bike) dan skuter elektrik (e-scooter), yang telah meragut lapan nyawa dan mencederakan 86 individu sepanjang tahun ini.
Statistik yang dikeluarkan oleh Office for Product Safety and Standards (OPSS) menunjukkan lebih 200 insiden telah direkodkan sepanjang 2024, berbanding hanya 26 kes pada tahun 2020. Peningkatan mendadak ini dikaitkan dengan penggunaan bateri lithium-ion tidak selamat, terutamanya yang diubah suai secara DIY atau dibeli secara dalam talian pada harga murah.
Antara insiden paling menyayat hati melibatkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Luke Albiston O’Donnell dari Merseyside, yang maut akibat keracunan karbon monoksida selepas e-bike yang sedang dicas meletup dalam ruang tamu rumah keluarganya.
Dalam kes berasingan di Catford, sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal selepas e-bike terpakai yang dibeli secara dalam talian meletup ketika dicas, menyebabkan kebakaran besar yang hampir meragut nyawa seluruh ahli keluarga.
Menurut London Fire Brigade, kebanyakan kebakaran berpunca daripada produk tidak mematuhi piawaian keselamatan rasmi, terutamanya peranti yang dibeli di platform seperti Facebook Marketplace dan eBay. Sebaliknya, peralatan yang dibeli dari kedai sah lebih diyakini selamat kerana mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Pegawai bomba, Richard Field, menggesa kerajaan mempercepatkan penguatkuasaan di bawah Product Regulation and Metrology Bill, termasuk mengenakan kawal selia yang lebih ketat terhadap penjualan bateri dan pengecas di platform atas talian.
Dalam pada itu, badan amal Electrical Safety First turut menuntut agar pensijilan pihak ketiga diwajibkan bagi semua bateri dan pengecas e-mobiliti, selain penggubalan piawaian keselamatan baharu bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.
Beberapa syarikat e-dagang seperti Amazon dilaporkan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menambah baik pemantauan terhadap penjual dan menyediakan panduan keselamatan kepada pengguna.
SUMBER : The Independent
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?