Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mencari penyelesaian terhadap kekangan undang-undang berkaitan pelupusan kenderaan terbiar.
Isu kenderaan terbiar yang semakin berleluasa di Kuala Lumpur dan Putrajaya mencetuskan kebimbangan apabila lebih 2,500 aduan diterima setiap tahun di ibu negara sahaja.
“Kita sedang berdepan beberapa isu seperti kenderaan terbiar di kawasan milik persendirian yang tidak boleh ditunda ke depot PBT, serta kenderaan yang sudah lama disimpan di depot tetapi masih tidak dapat dilupuskan disebabkan halangan perundangan,” jelas beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum itu, Dr Zaliha turut mengadakan lawatan ke Car Medic Sdn Bhd, sebuah pusat rawatan automotif berlesen yang terlibat dalam pelupusan kenderaan dilucut hak, bagi melihat sendiri bagaimana proses pelupusan dapat dijalankan dengan lebih efisien dan mesra alam.
Menurut beliau, kenderaan terbiar bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar raya, malah mencerminkan kegagalan sistem pengurusan bandar jika tidak ditangani segera.
Sebagai langkah jangka pendek, beliau turut menggalakkan pemilik kenderaan lama atau yang tidak digunakan agar melupuskan kenderaan mereka secara sukarela di pusat rawatan automotif yang berlesen.
“Prosedur ini mudah dan pemilik juga akan menerima bayaran tunai mengikut keadaan kenderaan,” katanya.
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?