Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn Bhd (GWM Malaysia) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh kedudukannya di pasaran tempatan dengan mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu syarikat.
Menurut kenyataan rasmi GWM Malaysia, pelantikan Roslan dilihat sebagai langkah strategik yang dijangka membawa transformasi besar terhadap arah operasi dan strategi jangka panjang syarikat di Malaysia.
“Roslan bukan nama asing dalam dunia automotif tempatan dan serantau. Dengan pengalaman luas serta rekod prestasi yang terbukti, beliau dianggap sebagai individu paling tepat untuk memacu jenama GWM ke hadapan dalam pasaran yang kian kompetitif,” kata GWM.
Pelantikan ini juga mencerminkan komitmen serius GWM terhadap pertumbuhan industri automotif Malaysia yang pesat. Syarikat percaya bahawa pelaburan dalam bakat kepimpinan berkaliber tinggi seperti Roslan adalah kunci untuk menangkap peluang baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri.
Sebagai COO, Roslan akan memegang tanggungjawab penting dalam mengawasi pelbagai aspek operasi termasuk jualan, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan. Beliau turut diamanahkan untuk menyatukan fungsi-fungsi utama syarikat bagi menjana pertumbuhan yang mampan serta memberi impak jangka panjang.
“Dengan pengalaman dan visi strategiknya, kami yakin Roslan akan membantu memperkenalkan pendekatan baharu yang inovatif serta memperkukuhkan penglibatan pelanggan secara menyeluruh,” tambah GWM.
Pelantikan ini adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh GWM Malaysia dalam menjadikan syarikat sebagai antara pemain utama dalam industri automotif negara.
SUMBER : HarianMetro