NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Disangka Bergurau, Lelaki Hilang Selepas Kereta Ditemui Dalam Sungai

Disangka Bergurau, Lelaki Hilang Selepas Kereta Ditemui Dalam Sungai

Kehilangan seorang lelaki selepas kenderaannya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui, Jalan Bukit Kepong di sini petang semalam pada mulanya dianggap gurauan oleh ahli keluarga.

Mangsa, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dikenali sebagai pempengaruh dalam dunia permotoran, dilaporkan hilang selepas kereta Perodua Axia dipandunya ditemui tenggelam di dasar sungai tanpa kelibatnya di dalam kenderaan tersebut.

Menurut adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, abangnya memang dikenali sebagai individu yang gemar bergurau dan sering membuat kejutan.

“Pada mulanya kami sangka dia hanya bergurau seperti kebiasaannya. Tapi bila gagal dihubungi dan kereta pula ditemui berhampiran lokasi terakhir kami jumpa dia, kami mula rasa tak sedap hati,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Katanya lagi, pertemuan terakhir dengan abangnya – yang mesra dipanggil Ija – berlaku sekitar jam 2 petang semalam ketika mereka dalam perjalanan berasingan dari Johor Bahru ke Muar atas urusan perniagaan.

“Saya ke satu tempat, manakala abang cakap nak ke bengkel kawannya di Parit Jawa. Keluarga maklumkan kali terakhir mereka hubungi dia sekitar pukul 4 petang. Lepas tu, dia terus tak dapat dihubungi,” katanya.

Tambahnya, mereka kemudian menghubungi pemilik bengkel berkenaan, namun diberitahu abangnya tidak pernah muncul seperti yang dirancang.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima laporan penemuan kenderaan tersebut pada jam 3.22 petang, Selasa.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz pula memaklumkan, usaha mencari mangsa sedang giat dilaksanakan dan orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy