BYD Atto 2 Kini Dilancarkan di Malaysia – Satu Varian, Jarak Gerak 350 km, Harga Bermula RM100k

Sime Darby Motors, pengedar rasmi jenama BYD di Malaysia, telah melancarkan BYD Atto 2 ke dalam pasaran Malaysia. Hanya satu varian ditawarkan pada harga bermula RM100,000 (atas jalan tanpa insurans).

Diletakkan di antara model Dolphin dan Atto 3, model ini berukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,620 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 400 liter dan meningkat sehingga 1,340 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.

Ia didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal yang mampu menghasilkan 130 kW dan 290 Nm tork. Untuk jarak sejauh 350 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 51.13 kWj dengan sekali pengecasan. Pecutan 0-100 km/j didakwa dalam masa 7.9 saat dan kelajuan maksimum mencapai 160 km/j.

Bagi pengecasannya, ia boleh dicas menggunakan pengecas AC berkapasiti 7 kW dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 6 jam. Bagi pengecas pantas DC pula, ia menyokong sehingga 82 kW dan boleh mencapai status pengecasan 10% hingga 80% dalam masa 37 minit.

Bahagian luaran BYD Atto 2 tampil dengan reka bentuk “Dragon Face” yang menyerlahkan gaya sporty melalui rekaan badan yang kemas, overhang pendek, dan lekuk yang nampak berkuasa. Ia dilengkapi lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu siang (DRL) yang nipis, serta gril dengan kemasan hitam dan perincian krom untuk penampilan moden.

Reka bentuk luar lain termasuk bumbung bergaya terapung hasil penggunaan tiang berwarna hitam, pemegang pintu jenis rata (flush) yang memberi kesan aerodinamik dan moden, serta pelindung plastik hitam di bawah sisi kereta. Atto 2 turut dilengkapi rim aloi lima jejari bersaiz 17-inci dan tayar 215/60 R17.

Di belakang pula, model ini menampilkan lampu belakang penuh merentangi bahagian belakang, bampar belakang dengan reka bentuk sedikit terkeluar, spoiler di atas bumbung, serta kemasan bawah berwarna perak seakan skid plate.

Bahagian dalaman Atto 2 direka dengan gaya minimalis dan fungsional, memberikan suasana kemas dan mudah digunakan. Paparan utama ialah skrin infotainmen 12.8-inci yang boleh diputarkan secara automatik dari mod lanskap ke potret dengan satu tombol. Antara ciri lain termasuk kluster meter digital 8.8-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kunci NFC tanpa sentuh, tempat duduk kulit sintetik, sistem karaoke BYD, serta kemas kini perisian OTA.

Dari segi keselamatan, Atto 2 hadir dengan sistem bantuan pemanduan ADAS 2.0 yang merangkumi Amaran Perlanggaran Hadapan, Brek Kecemasan Automatik, Kawalan Kelajuan Adaptif, Sistem Brake Override, dan Bantuan Ketika Trafik Sesak.

Ia juga dilengkapi 6 beg udara, sistem ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Menuruni Cerun, Auto Hold, pemantauan tekanan tayar (TPMS), sensor parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, bantuan parkir, serta sambungan Isofix untuk tempat duduk kanak-kanak.

Varian tunggal ini akan ditawarkan dengan 3 pilihan warna iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey dengan warna rona hitam di ruang kabin. Pelanggan yang berminat untuk melihat dan pandu uji, boleh hadir ke Heritage Valley, Kuala Lumpur bermula 25 Julai sehingga 27 Julai ini.

Waranti 6 tahun/150,000 km untuk kenderaan, 8 tahun/160,000 km dengan State of Health (SOH) di atas 70% untuk bateri dan 8 tahun/150,000 km untuk unit pemanduan akan diberikan kepada semua pemilik Atto 2.

Istimewa untuk 800 pembeli pertama model ini, Sime Motors akan memberi tawaran khas (hanya sah untuk pemilik di PJ, KL dan Pulau Pinang):

  • Pakej pemilikan mudah bernilai sehingga RM13,500 ditawarkan.

  • Termasuk Pakej Bayaran Mudah dengan:

    • Ansuran RM0 selama 6 bulan pertama (tertakluk kepada bank panel Sime Motors).

  • Pengecas wallbox percuma untuk rumah bertanah (landed house).

  • Sime Platinum 4+ oleh Power Up yang merangkumi:

    • Langganan percuma selama 12 bulan.

    • 4 kali pengecasan mudah alih (door-to-door) setiap bulan.

    • 2 kali cucian kereta lengkap, termasuk vakum dan gilap tayar, setiap bulan.

    • 2 kali bantuan EV rescuer percuma sepanjang tahun.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD