Sub-jenama terbaru Chery, Lepas, dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi selepas kemunculan akaun media sosial mereka di Facebook dan Instagram.
Lepas pertama kali diperkenalkan kepada pasaran global semasa Shanghai Auto pada April lalu, Indonesia menjadi pasaran luar pertama yang menerima kemunculan rasmi jenama ini semasa pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang baru berakhir.
Walaupun tiada maklumat terperinci dikongsikan di laman sosial media Malaysia setakat ini, menurut laporan Paultan, ramai menjangkakan bahawa model SUV L8 akan menjadi model pertama dilancarkan di sini, seperti mana di Indonesia. Malah, kumpulan pertama L8 telah dihantar ke pasaran luar dari Pelabuhan Wuhu pada 6 Jun lalu.
L8 ialah SUV segmen D yang saiznya hampir sama dengan Chery Tiggo 8, dengan ukuran 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm. Ia akan hadir dengan sistem kuasa Chery Super Hybrid (CSH).
Model lain di bawah jenama Lepas termasuk L6 dan L4, yang turut dipamerkan di GIIAS 2025. Ketiga-tiga model ini menggunakan rekaan berkonsepkan ‘Leopard Aesthetic’, antaranya lampu siang (DRL) yang nipis dan tajam, diinspirasikan daripada pandangan mata harimau bintang yang fokus.
Terdapat juga tiga garisan unik di bahagian sisi kenderaan yang melambangkan otot bahagian depan, belakang dan perut haiwan itu. Reka bentuk luaran pula lebih ringkas dan licin, diinspirasikan daripada seni tembikar.
Untuk makluman, sebutan jenama Lepas sepatutnya disebut ‘leap-pass’, bukan ‘le-pas’. Nama ini diambil daripada gabungan perkataan “leap/leopard” dan “passion“. Dengan kemasukan Lepas ke pasaran, Chery Malaysia akan memperluaskan lagi barisan model mereka, yang kini merangkumi jenama Chery, Omoda | Jaecoo, dan iCaur (dikenali sebagai iCar di China).